Najib beri penekanan FTA ASEAN-EU di ASEM
Bernama
Oktober 17, 2014 07:30 MYT
Oktober 17, 2014 07:30 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi penekanan terhadap perjanjian perdagangan bebas (FTA) Asean dan Kesatuan Eropah (EU) pada Sidang Kemuncak Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM) di sini.
Najib berkata apabila Malaysia mengambil alih jawatan pengerusi Asean pada 2015, satu daripada bidang utama yang akan diberi penekanan ialah untuk menggalakkan proses FTA Asean-EU.
Najib, yang juga koordinator sub-kumpulan ASEM Asean, berkata FTA Asean-EU boleh melengkapkan FTA EU sedia ada dengan Singapura serta FTA yang hampir dimuktamadkan dengan Vietnam.
"Dalam masa terdekat, kita berharap akan ada FTA Asean-EU dan akan melengkapkan integrasi antara rantau antara EU dan Asean," kata beliau pada sidang media pada akhir Sidang Kemuncak ASEM hari ini.
Pemimpin ASEM lain yang menyertai sidang media itu ialah Presiden Suruhanjaya Eropah Jose Manuel Barraso, Presiden Majlis Eropah Herman Van Rompuy, Perdana Menteri Itali Matteo Renzi dan Presiden Mongolia Tsakhiagiin Elbegdorj.
Lebih 50 pemimpin dari Asia dan Eropah berhimpun selama dua hari di bandar Itali ini bagi sidang kemuncak itu untuk membincangkan isu-isu yang menjadi kepentingan bersama.
Najib berkata integrasi dalam dan antara rantau akan menjadi satu daripada bidang utama bagi Malaysia untuk terus diusahakan apabila mengambil alih jawatan pengerusi Asean tahun depan.
Beliau berkata syarikat-syarikat Eropah akan tertarik terhadap Asean dengan proses integrasi yang berlaku setelah proses memudahkan menjalankan perniagaan ditingkatkan.
Najib berkata Asean akan muncul sebagai Komuniti Ekonomi, yang terdiri daripada kira-kira 600 juta orang dengan US$2.5 trilion gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
"Ini akan menjadikannya menarik kepada syarikat-syarikat Eropah melabur dalam pasaran tunggal apabila kita mengisytiharkan kita sebagai Komuniti Ekonomi," kata beliau.
Najib berkata Malaysia akan memberi penekanan yang kukuh terhadap hubungan Asean-EU.
"Saya melihat banyak kemungkinan yang menarik dan saya bersetuju dengan pandangan, perkongsian Asean-EU akan bertambah kukuh," kata beliau.