Najib akui 2016 tahun mencabar, akan umum pengubahsuaian Bajet 2016

Harits Asyraf Hasnan
Januari 8, 2016 10:12 MYT
Menurut Najib, selain kejatuhan harga minyak dunia, terdapat beberapa lagi faktor luaran yang turut mempengaruhi ekonomi negara. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengumumkan pengubahsuaian kepada Bajet 2016 ekoran situasi ekonomi dunia yang tidak menentu pada masa kini.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, perubahan pada Bajet 2016 melibatkan beberapa aspek supaya ia lebih realistik dengan situasi terkini.
"Oleh kerana senario ekonomi semasa, saya bercadang untuk membentangkan pengubahsuaian kepada Bajet 2016 dari segi beberapa aspek untuk kita lakukan rekalibrasi supaya lebih realistik, lebih tepat dengan keadaan yang kita alami pada 2016.
"Pembentangan Bajet 2016 ini adalah langkah-langkah tambahan penegasan baru mengoptimumkan perbelanjaan, peranan GLC dan kesudahannya kesejahteraan rakyat mesti terus diperjuangkan oleh kerajaan," katanya pada Majlis Perhimpunan Khas Perdana Menteri bersama Warga Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Jelas Najib, antara faktor yang menyebabkan kerajaan terpaksa melakukan pengubahsuaian pada Bajet 2016 adalah kerana unjuran pertumbuhan ekonomi pada tahun 2016 dibuat berdasarkan harga purata Brent sebanyak US$48 setong.
"Harga purata minyak mentah Brent telah menjunam daripada US$98.94 setong pada tahun 2014 kepada US$31.58 setong (pb) pada hari semalam (07 Januari 2016).
"Perkara ini amat membimbangkan termasuk kesan kepada negara kita ekoran unjuran pertumbuhan ekonomi pada tahun 2016 adalah berdasarkan harga purata Brent sebanyak US$48 setong," katanya.
Tambah Najib lagi, selain kejatuhan harga minyak dunia, terdapat beberapa lagi faktor luaran yang turut mempengaruhi ekonomi negara.
"Kelembapan ekonomi negara China yang merupakan ekonomi kedua terbesar dunia dan rakan dagangan terbesar negara kita. Semalam kita lihat jual beli saham di Shanghai Exchange digantung.
"Permintaan global dan perdagangan dunia yang masih lemah, keadaan pasaran kewangan terutamanya berikutan kadar faedah US Fed yang akan dinormalizedkan membawa kesan aliran modal serantau, termasuk Malaysia dan pengukuhan nilai dolar Amerika Syarikat," ujarnya.
Justeru, katanya Kerajaan perlu memberi perhatian dalam mengambil tindakan lebih responsif dan tegas dalam menangani cabaran tersebut.
Malah, Najib juga mahu Kerajaan menguruskan sumber-sumber dengan cekap dan mencapai tahap optimum sekaligus bersiap sedia dan memikirkan cara terbaik untuk memastikan keadaan ekonomi negara terus mampan.
Bagaimanapun katanya, Kerajaan perlu memberi penjelasan dan menjawab pelbagai isu yang ditimbulkan supaya rakyat tidak terkeliru bahawa keadaan ekonomi negara masih kukuh walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran global seperti kejatuhan harga komoditi seperti minyak kelapa sawit.
#Bajet 2016 #Brent #Kementerian Kewangan #Najib Razak #Perdana Menteri
;