Nadi Niaga: Pengusaha ambil kesempatan trend snek makanan sihat

Dania Zainuddin
Jun 25, 2015 15:23 MYT
Krunchy Karamel adalah makanan snek yang berasaskan kacang badam dan karamel, mengandungi bahan yang berkhasiat.
Bermula dengan modal 200 ringgit, siapa sangka, Akmal Jamil, anak kelahiran Alor Setar mampu membawa produk berasaskan makanan sihat ke satu tahap yang mampu menembusi pasaran luar negara.
Produk yang dikenali sebagai Krunchy Karamel ini adalah makanan snek berasaskan kacang badam dan karamel. Keistimewaan snek ini adalah kandungan bahan yang berkhasiat
Menurut Akmal, Krunchy Karamel seiring dengan tren terkini yang menjurus kepada gaya hidup sihat, lantas memiliki peluang pasaran yang meluas.
"Produk Krunchy Karamel ini, melalui kajian dan analisa yang dibuat pihak MARDI memang terdapat banyak khasiat.
"Produk kami tidak mengandungi kolestrol, tidak mengandungi asid lemak trans. Ia mengandungi vitamin, serat dan bahan yang digunakan diakui berkhasian dan berkualiti tinggi." kata Akmal dalam temubual bersama Astro AWANI.
Akmal berkongsi pengalaman perniagaannya yang bermula di rumah, dibantu isteri dan ibu mertua. Kini syarikat itu memiliki lebih 10 pekerja serta dua kilang di Rawang.
Bilangan produk juga bertambah daripada hanya mengeluarkan Krunchy Karamel Almond dan Krunchy Karamel Nut, ia ditambah dua produk lagi iaitu Krunchy Rainbow serta Krunchy Red Ruby, baru-baru ini.
Bagi meluaskan lagi rangkaian perniagaannya, produk jenama Krunchy Karamel keluaran syarikat Dafinah Delights memperkenalkan projek raya menerusi koloborasi dengan rakan strategik.
"Koloborasi dengan rakan strategik untuk mengedarkan lebih banyak pilihan kuih raya tahun ini. Terdapat lebih 100 jenis kuih raya diedarkan dibawah jenama Kruncy Karamel dan Asiana Cookies.
"Ia bermaksud tidak semua orang perlu mengeluarkan 100 jenih kuih raya tersendiri, melalui pilihan pengeluaran produk masing-masing, kita dapat dapat bekerjasama dan tumpu untuk mendapatkan pasaran yang lebih besar," katanya.
Sementara itu, menerusi projek raya itu juga Akmal percaya dapat mengembangkan rangkaian usahawan tempatan di sekitar Rawang.
Setakat ini, produk Krunchy Karamel boleh didapati di 150 cawangan di sekitar Lembah Klang termasuk 100 stesyen minyak, serta boleh dibeli secara atas talian.
Bagi menyahut seruan kerajaan untuk menembusi pasaran Asean yang mempunyai populasi lebih 600 juta penduduk, penjualan produk syarikat itu akan diperluaskan ke Indonesia, Filipina dan Thailand, selepas berjaya menembusi pasaran di Singapura dan Brunei, sebelum ini.
#Asiana Cookies #Krunchy Karamel #makanan #MARDI #snek
;