MYNIC sasar lebih ramai usahawan guna domain.my kembangkan perniagaan
Bernama
April 7, 2024 23:19 MYT
April 7, 2024 23:19 MYT
KUALA LUMPUR: MYNIC Berhad (MYNIC), agensi yang mengurus, mentadbir dan mempromosi penggunaan nama domain.my di Malaysia dan peringkat antarabangsa menyasarkan lebih ramai usahawan akan menggunakan domain itu untuk mengembangkan operasi perniagaan masing-masing.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Hasnul Fadhly Hasan berkata ketika ini, jumlah keseluruhan pengguna domain.my adalah sebanyak 313,000 orang berbanding 400,000 pengguna yang disasarkan untuk tahun ini.
Beliau berkata jumlah direkodkan itu meliputi 150,000 pengguna domain com.my yang terdiri daripada syarikat perniagaan manakala baki selebihnya adalah untuk domain.my yang kebiasaannya diguna oleh individu dan perusahaan kecil-kecilan.
"Kami berharap lebih ramai lagi yang akan menggunakan domain ini untuk bisnes mereka kerana kami boleh membantu mereka menaikkan pendapatan sekurang-kurangnya 30 peratus dalam masa tiga bulan hanya dengan beralih daripada perniagaan offline kepada online," katanya kepada Bernama.
Hasnul berkata pada masa ini, MYNIC sedang giat bekerjasama dengan pelbagai agensi seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN) untuk menyediakan latihan kepada mereka yang berminat menggunakan domain tersebut untuk mengembangkan potensi perniagaan masing-masing.
"Selain itu, MYNIC juga akan memperkenalkan satu program khas pada 1 Mei ini untuk memberi kelebihan kepada pembeli nama domain ini," katanya.
-- BERNAMA