MyFarm Outlet pertama catat nilai jualan hampir RM4.2 juta
Azyyati Ahmad
Mei 31, 2016 22:22 MYT
Mei 31, 2016 22:22 MYT
Pasar belian terus hasil pertanian, MyFarm Outlet pertama yang dibangunkan di Presint 7 Putrajaya mencatat nilai jualan hampir RM4.2 juta sehingga Mei.
Menurut Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Tan Sri Badruddin Amiruldin, nilai jualan itu dilihat satu kejayaan sejak MyFarm Outlet dibuka pada Mac tahun ini.
"Pencapaian ini menunjukkan rakyat memberi kepercayaan kepada program yang diilhamkan perdana menteri.
“Dengan turnover sebanyak RM4.2 juta, ini sekali gus memberi cabaran kepada FAMA untuk memperbanyakkan lagi barang jualan dengan harga yang berpatutan,” katanya.
Beliau ditemui di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Anugerah Khidmat Setia yang disampaikan kepada lebih 200 kakitangan FAMA di seluruh negara pada Selasa.
Selain itu, Badruddin berkata, antara sebab MyFarm Outlet menjadi pilihan penduduk Putrajaya adalah kerana harga barangan berada pada lima hingga 20 peratus lebih jimat daripada harga pasaran.
MyFarm Outlet akan dibuka di dua lokasi lagi iaitu di Manjong, Perak dan Kota Bharu, Kelantan pada Jun selain sembilan cawangan lagi akan dibuka bermula Ogos di bandar-bandar utama lain.
Dalam masa yang sama, sempena Ramadan yang bakal tiba, Badruddin berkata FAMA akan mengadakan program tahunan iaitu Pasar Tani Pra Ramadan dan Pasar Tani Sepanjang Ramadan.
Ia bertujuan memberi kemudahan kepada pengunjung khususnya yang beragama Islam untuk mendapatkan keperluan dan juadah untuk berbuka puasa.