Mydin, Boost tawar pembayaran tanpa tunai
Bernama
September 5, 2018 08:37 MYT
September 5, 2018 08:37 MYT
Jaringan peruncitan dan pemborongan terbesar tanah air, Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin) mengumumkan jalinan kerjasama dengan Boost, aplikasi e-dompet tempatan bagi menyediakan kaedah pembayaran tanpa tunai di kesemua gedung beli-belahnya.
Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin berkata inovasi yang dilancarkan itu seiring dengan keperluan berubah mengikut peredaran zaman bersama pengguna di Malaysia.
"Berbekalkan lebih 20 juta pengguna telefon pintar di Malaysia, kami ingin menerapkan penggunaan dompet mudah alih dengan Boost untuk mencipta tanggapan yang kuat terhadap jenama kami terutamanya kalangan pengguna muda.
"Kami yakin gandingan dengan aplikasi dompet mudah alih tempatan ini boleh memajukan perniagaan kami dengan langkah yang paling sempurna," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Boost, Christopher Tiffin berkata telefon pintar memainkan peranan penting di era digital untuk menguruskan komunikasi dalam kehidupan peribadi mahupun di tempat kerja.
"Peralihan ini akan memberikan pengalaman beli-belah yang lebih sempurna dan selamat, tanpa perlu bimbang dengan masalah tunai di tangan yang tidak mencukupi.
"Ia juga membantu keluarga mengurus serta menjimat perbelanjaan bulanan secara kolektif sambil menerima bayaran balik (manfaat) pada masa yang sama," katanya.
Boost mempunyai lebih tiga juta pengguna sehingga hari ini serta 35,000 lokasi di seluruh negara. Pengguna Android dan iOS boleh memuat turun aplikasi Boost dari Play Store dan App Store.
Maklumat lanjut boleh diperolehi di laman web https://www.myboost.com.my/ dan media sosial Boost.
-- BERNAMA
#Ameer Ali Mydin
#aplikasi
#bayaran tanpa tunai
#boost
#borong
#Christopher Tiffin
#dompet mudah alih
#e-dompet
#inovasi
#jimat
#kerjasama
#MYDIN
#perbelanjaan
#runcit
#telefon pintar