MyCEB rai peranan rakan media dalam kemajuan industri acara perniagaan

Israr Khalid
Disember 12, 2023 16:35 MYT
Pengerusi MyCEB Datuk Roslan Tan Sri Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif MyCEB Azman Tambi Chik bersama perwakilan media yang diraikan.
SATU majlis makan petang dianjurkan Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB) sebagai menghargai pihak media atas sokongan tidak berbelah bahagi mereka sepanjang perjalanan yang menyaksikan perubahan dan cabaran dalam industri acara perniagaan.
Majlis makan petang yang dikenali sebagai 'Sesi Suai Mesra MyCEB Bersama Media: Sejuta Hubungan, Satu Cerita' dihadiri oleh 60 orang wakil kehormat daripada media terkemuka.
Sempena jamuan petang penghargaan tersebut, MyCEB mengambil kesempatan untuk mengalu-alukan dan memperkenalkan Ketua Setiausaha bagi Kementerian Pelancongon, Seni dan Budaya (MOTAC) merangkap Pengerusi MyCEB, Datuk Roslan Tan Sri Abdul Rahman, dan Ketua Pegawai Eksekutif MyCEB, Azman Tambi Chik.
“Petang ini menandakan detik penting dalam mengiktiraf peranan penting yang dimainkan oleh media dalam kejayaan dan daya tahan industri acara perniagaan.
"Kami amat berterima kasih di atas sokongan media, dan kami juga berharap agar dalam peranan baharu kami, kami akan terus menerima dedikasi yang tidak berbelah bahagi, liputan yang berwawasan dan semangat kerjasama media di saat kami mengorak langkah dalam mengemudi perjalanan yang mengujakan pada masa hadapan,” kata Roslan.
Sementara itu, Azman berkata acara jamuan tersebut adalah tanda hubungan erat antara MyCEB dengan media yang terjalin atas satu matlamat, iaitu mengukuhkan Malaysia sebagai magnet acara perniagaan antarabangsa.
"Semoga kita dapat meneruskan perkongsian ini, berkongsi naratif yang menarik dan mempromosikan pertumbuhan dan kejayaan acara perniagaan bersama-sama,” ujarnya.
Pada acara tersebut, MyCEB mendedahkan bahawa mereka sedang bersiap sedia untuk masa hadapan yang dinamik dalam penglibatan media, dengan mengambil pendekatan pelbagai aspek.
Biro tersebut berhasrat memupuk kerjasama dan perkongsian yang lebih kukuh dengan entiti media, dan membayangkan landskap kejayaan dan kecemerlangan yang mampan dalam industri acara perniagaan.
Selain daripada itu, MyCEB bersedia untuk memudahkan lawatan media yang teratur, untuk memupuk persefahaman bersama mengenai tawaran industri.
Rakan kongsi media akan menikmati pengalaman yang eksklusif, dengan menerima jemputan secara langsung untuk menghadiri program dan acara anjuran MyCEB.
Tambahan pula, MyCEB merancang untuk terlibat dalam perbincangan meja bulat yang berwawasan dengan wakil media, mewujudkan satu platform penting untuk bertukar-tukar pandangan dan idea yang berharga.
Mencerminkan pencapaian untuk tahun 2023, MyCEB berkongsi jumlah pencapaian nilai PR pada tahun ini sebanyak RM174.8 juta dari Januari hingga kini.
Angka penting tersebut menjadi bukti kepada sokongan dan komitmen oleh media, yang menyumbang kepada daya tahan dan kejayaan industri.
Meninjau ke hadapan untuk tahun 2024, MyCEB sangat teruja dalam merangkakan program dan aktiviti yang lebih menarik bersama media, sekaligus mengiktiraf media sebagai asas industri.
Dengan sokongan dan liputan yang berterusan daripada media, MyCEB bersedia untuk mengecapi kejayaan, setelah mencapai sebanyak 305 acara perniagaan yang akan diadakan di dalam tempoh 2023 sehingga 2030.
Jumlah acara perniagaan yang bakal berlangsung dianggarkan bakal mengalu-alukan hampir sejuta orang delegasi antarabangsa dan tempatan.
#MyCEB #majlis makan petang #rai peranan rakan media #industri acara perniagaan
;