MyCEB perkukuh industri acara perniagaan melalui pertukaran idea serantau

Israr Khalid
Januari 27, 2024 16:10 MYT
CEO MyCEB, Azman Tambi Chik (kiri) bersama Naib Presiden Kanan TCEB, Puripan Bunnag.
KUALA LUMPUR:
Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB) telah mengambil langkah progresif dalam komitmen untuk meningkatkan industri acara perniagaan dengan lawatan ke Thailand Convention & Exhibition Bureau (TCEB), bertujuan bertukar pengetahuan untuk meningkatkan amalan setempat.
Sejurus selepas kejayaan lawatan MyCEB ke Jakarta, di mana perbincangan mengenai Komuniti Acara Perniagaan ASEAN menjadi fokus utama, perwakilan MyCEB kini melanjutkan usaha kolaboratif dengan TCEB.
Lawatan ini merupakan tindakan susulan penting, memperkuat komitmen untuk memupuk kesatuan serantau dan pertumbuhan dalam industri acara perniagaan. Thailand, pada gilirannya, menyatakan ikrar untuk menyokong dalam Komuniti Acara Perniagaan ASEAN.
"Dalam landskap acara perniagaan yang sentiasa berkembang, penambahbaikan berterusan adalah kunci untuk kekal di hadapan dalam kemajuan industri.
"Ketika kami memulakan kunjungan hormat ini yang merentasi hubungan antarabangsa, matlamat kami bukan hanya untuk belajar daripada yang terbaik di rantau ini, tetapi untuk membina jambatan usahasama.
"Dengan memahami kejayaan dan cabaran TCEB, kami yakin dapat meningkatkan keupayaan kami dan membina perkongsian yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, secara tidak langsung menyumbang kepada pembentukan masa depan Komuniti Acara Perniagaan ASEAN," kata Ketua Pegawai Eksekutif MyCEB, Azman Tambi Chik.
Semasa lawatan, MyCEB dan TCEB membentuk hubungan bermanfaat melalui perbincangan produktif, berkongsi pendapat, termasuk strategi dan keunggulan operasi. Mereka juga mencipta platform kolaboratif serta meneroka jalan-jalan berpotensi untuk kerjasama efektif di antara pemain industri masing-masing.
Sebagai agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni, dan Budaya (MOTAC), inisiatif strategik MyCEB diselaraskan dengan visi dan misi kementerian yang dipimpin oleh Datuk Seri Tiong King Sing.
Pendekatan kolaboratif ini mencerminkan kesetiaan bersama untuk memajukan acara perniagaan dan sektor pelancongan, turut menyumbang kepada ketokohan negara di peringkat dunia.
Selain bertemu dengan TCEB, lawatan kerja ke Thailand juga merangkumi kunjungan ke pusat-pusat persidangan terkemuka termasuk Queen Sirikit National Convention Centre (QSNCC) dan IMPACT Arena.
#MyCEB #TCEB #MOTAC #Thailand
;