MyCEB, MACEOS meterai kerjasama strategik untuk transformasi MBEW 2024

Israr Khalid
Julai 29, 2024 20:49 MYT
Ketua Pegawai Eksekutif MyCEB Azman Tambi Chik (kiri) berjabat dengan Pengerusi Penganjur EVENTXPO 2024 Francis Teo, disaksikan Naib Presiden Pembangunan MACEOS Eric Ho Kah Pheng (tengah). - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB) memeterai perjanjian kerjasama strategik dengan Persatuan Penganjur Konvensyen dan Pameran (MACEOS), sebagai tanda dedikasi memajukan industri acara perniagaan yang lebih inklusif dan dinamik.
Acara menandatangani perjanjian yang berlangsung di Putrajaya itu menjadi satu pencapaian besar untuk Minggu Acara Perniagaan Malaysia (MBEW) Ke-9 2024, menggariskan komitmen bersama untuk kedua-dua penganjur dalam mengangkat sektor acara perniagaan di Malaysia.
Gandingan MyCEB dan MCEOS sudah pastinya bermatlamat untuk menjayakan MBEW 2024 dengan gemilang, lebih membawa impak dan menyeluruh.
Sepertimana yang dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MyCEB Azman Tambi Chik bahawa penganjuran tahun ini amat membawa makna buat mereka, selepas menjayakan BE XChange sebelum ini yang membenarkan pembeli dan penjual untuk berhubung dan mengendalikan perniagaan.
“Menyedari keperluan yang lebih dalam pendekatan bersepadu, kami teruja untuk bergandingan dengan rakan-rakan industri yang dihormati dan adanya MACEOS untuk mengemudi segmen yang penting ini.
“Kerjasama dengan MACEOS ini lebih daripada sekadar langkah strategik; ia mencerminkan komitmen untuk inovasi dan keunggulan dalam industri acara perniagaan.
“Kami harap jalinan ini akan mengorak langkah menuju MBEW yang lebih baik dan lebih besar pada tahun-tahun mendatang, sekali gus menetapkan penanda aras baharu untuk industri,” katanya.
MACEOS secara keseluruhannya mempunyai 99 reruai di ekspo tersebut yang ketika ini sudah dipenuhi 81 peratus, sementara MyCEB sudah menempah 49 pembeli.
Dijadual berlangsung pada 19 hingga 21 Ogos di KLCC, MBEW 2024 akan mambawakan EVENTEXPO 2024, dengan tema “Everything, Everywhere, Events!” bermatlamat menjadi pasaran premier yang membawakan produk, perkhidmatan, teknologi, tren dan pandangan terkini dalam industri.
Sementara itu, Presiden MACEOS Datuk Dr. M Gandhi turut menyatakan keterujaannya tentang kerjasama pihaknya dengan MyCEB.
“EVENTEXPO 2024 tidak hanya akan mempersembahkan sifat dinamik industri kita tetapi juga menyediakan pelantar penting untuk perkongsian pengetahuan, rangkaian, dan perkembangan kerjaya,” jelasnya.
EVENTEXPO 2024 akan menampilkan bengkel-bengkel interaktif, perkongsian daripada para pakar industri, dan karnival kerjaya untuk para pelajar dan profesional yang meneroka peluang dalam industri.
Ia juga akan membawakan Cabaran Belia Kebangsaan MACEOS, menggalakkan bakat-bakat muda untuk menampilkan idea-idea acara perniagaan yang inovatif.
Kerjasama strategik antara MyCEB dengan MACEOS dijangka menarik para pembuat keputusan utama, penganjur persidangan dan pameran, perancang acara, pengurus venue, profesional pemasaran, penyedia teknologi, wakil kerajaan, persatuan perdagangan, syarikat korporat, dan pempamer dari pelbagai sektor.
Untuk maklumat lanjut tentang MBEW 2024 dan EVENTEXPO 2024, kunjungi https://www.myceb.com.my/mbew .
#MyCEB #MACEOS #syarikat korporat #wakil kerjaan
;