MyCEB julang industri acara perniagaan Malaysia pada IBTM World 2023
Israr Khalid
November 30, 2023 18:08 MYT
November 30, 2023 18:08 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB) dengan kerjasama 15 rakan industri berjaya membuat impak dengan penampilan untuk tahun ke-13 berturut-turut di IBTM World Barcelona 2023.
Berlangsung dari 28 hingga 30 November di Fira Barcelona Gran Via, penyertaan tahun ini membuktikan usaha keras MyCEB dan rakan industri dalam memartabatkan negara sebagai destinasi acara perniagaan pilihan di rantau Asia.
“Objektif utama penyertaan ini adalah untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi acara perniagaan, dengan memberi penekanan kepada keupayaan dan tawaran bertaraf dunia yang kita sediakan.
“Di samping itu, MyCEB juga dapat berkongsi maklumat dan perkembangan terkini berkaitan industri acara perniagaan di Malaysia yang sentiasa berkembang pesat kepada pemain industri antarabangsa.
“Penyertaan kami adalah usaha bersama untuk mencipta peluang rangkaian, memupuk kerjasama yang berkesan, dan menjamin peluang perniagaan baharu, menjadikan peranan Malaysia lebih berpengaruh di pentas global,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MyCEB, Azman Tambi Chik.
Penyertaan strategik ini membuktikan komitmen yang tidak berbelah bahagi Malaysia dalam usaha mencari kerjasama baharu dan merancakkan pertumbuhan dalam industri yang dinamik ini.
“Saya percaya bahawa IBTM World sentiasa dan akan terus menjadi platform strategik bagi kami, memandangkan ia merupakan salah satu pintu masuk utama ke pasaran Eropah dan antarabangsa.
“Ini merupakan acara pertama saya sejak memulakan tugas di MyCEB bermula awal bulan ini, dan saya amat berbangga menjadi sebahagian daripada acara ini serta teruja untuk mengadakan pertemuan dan mesyuarat dengan para pemain besar dunia,” kata Azman lagi.
Sejak penubuhannya pada 2011, MyCEB telah menyokong 2,857 acara perniagaan, yang dihadiri sekitar 2.3 juta perwakilan dan menyumbang kepada impak ekonomi bernilai kira-kira RM17.4 bilion.
Tahun ini sahaja, biro kebangsaan itu telah berjaya memenangi 305 acara yang dijadualkan berlangsung dari 2023 hingga 2030 yang dijangka memberi anggaran impak ekonomi sebanyak RM4.8 bilion kepada negara.
Antara acara yang bakal berlangsung di Malaysia ialah ENLIT ASIA 2024, International Conference on Emergency Medicine (ICEM) 2027, dan Federation of Asian and Oceanic Physiological Societies 2027 yang secara terkumpul bakal menjana RM57.26 juta atau 11.23 juta Euro anggaran impak ekonomi.
Pavilion Malaysia di IBTM WORLD 2023 membawa tema “Tekat”, seni kraf tradisional yang menyulam benang emas pada kain jenis baldu.
Benang emas dalam seni "Tekat" pula membawa gambaran peluang keemasan yang ditawarkan Malaysia dalam menganjurkan acara perniagaan yang berkualiti di negara ini.
Menjiwai semangat Tekat, MyCEB mengambil peluang ini dengan melancarkan program MyTripleE di bawah kempen Meet in Malaysia.
“MyTripleE dilancarkan untuk memberi definisi baharu kepada masa depan acara perniagaan menerusi tiga inisiatif yang diberi nama ‘Excel’, ‘Elevate’ dan ‘Enliven’, yang mana setiap inisiatif mempunyai matlamat berbeza dan ia meliputi secara menyeluruh pemain industri serantau dan antarabangsa.
“Peranan MyCEB adalah untuk menyediakan bantuan kewangan dan bukan kewangan kepada pemohon yang berkelayakan, dan kami amat mengalu-alukan lebih banyak sesi libat urus dengan para pemegang taruh untuk lebih memahami situasi semasa agar penambaikan tawaran bantuan yang sedia ada dapat dilakukan,” jelas Azman.
Untuk maklumat lanjut tentang produk dan perkhidmatan MyCEB di Malaysia, layari www.myceb.com.my.