MyCEB dan CSS kerjasama bawa produk warisan negara ke peringkat antarabangsa
Amzar Alif
Jun 15, 2024 14:12 MYT
Jun 15, 2024 14:12 MYT
Dalam misi memperkasakan nilai pemasaran produk warisan ke pasaran antarabangsa, Malaysia Convention & Exhbition Bureau (MyCEB) menjalin kerjasama strategik bersama Centexs Commercial Services (CCS) sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang bernaung di bawah kerajaan Sarawak.
Langkah tersebut dilihat penting dalam memacu industri perniagaan Malaysia ke tahap yang lebih tinggi sambil memupuk peluang usahawan tempatan di Sarawak untuk meluaskan jaringan perniagaan.
Ketua Pegawai Eksekutif MyCEB, Azman Tambi Chik berkata, CCS akan bergerak sebagai pembekal produk warisan Sarawak kerana mengambil kira kepakaran dimiliki CCS dalam mengetengahkan produk melalui platform tertentu mahupun dalam mana-mana acara perniagaan.
Selain memperkukuh usaha untuk meletakkan Malaysia sebagai pusat acara perniagaan global, kerjasama ini juga mampu melahirkan sinergi yang sihat antara biro negara dan pihak berkepentingan tempatan.
‘‘Ketika kami memulakan kerjasama transformatif ini dengan CCS, kami teruja dengan prospek yang dimilikinya untuk industri acara perniagaan Malaysia.
‘‘Perkongsian ini mencerminkan dedikasi MyCEB bagi memupuk bakat tempatan dan memperkuatkan kehadiran negara kita di pentas global. Kami juga bersedia untuk membuka peluang baharu dan meningkatkan landskap acara perniagaan Malaysia ke tahap yang tidak pernah dicapai sebelum ini,’’ katanya.
Memorandum Kerjasama (MOC) antara kedua syarikat itu menandakan lebih daripada sekadar perjanjian rasmi, ia sekaligus mewakili visi bersama bagi memanfaatkan warisan budaya Malaysia dan semangat inovatif memacu pertumbuhan mampan dalam sektor acara perniagaan.
MyCEB turut mengambil bahagian dalam beberapa aktiviti bagi memperkuatkan hubungan dengan komuniti acara perniagaan tempatan di Sarawak termasuk makan malam bersama pihak berkepentingan industri perniagaan, penglibatan dalam persidangan Asia Pacific Green Hydrogen 2024 serta kunjungan hormat ke TV Sarawak (TVS).
Usaha ini jelas menunjukkan komitmen MyCEB dalam membina perkongsian dan memajukan industri acara perniagaan Malaysia di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Sementara itu, Pengurus Besar CCS Mohamad Shahren Mohamad Yusri turut meluahkan keterujaannya dalam jalinan kerjasama yang dimeterai.
‘‘Kami sangat teruja untuk bekerjasama dengan MyCEB dalam usaha ini untuk memperkasakan usahawan tempatan dan mempamerkan budaya Malaysia kepada dunia.
‘‘Kerjasama ini mewakili peluang penting bagi kami untuk memanfaatkan sumber dan kepakaran kami untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan memupuk inovasi dalam industri acara perniagaan Sarawak,’’ tambahnya.
Pendekatan proaktif MyCEB akan digariskan menerusi kerjasama ini untuk memupuk perkongsian tempatan serta memanfaatkan kelebihan bakat masyarakat Malaysia untuk memacu negara ke arah masa depan yang lebih cerah dan lebih makmur dalam arena acara perniagaan.
#MyCEB
#Malaysia Convention & Exhbition Bureau
#Centexs Commercial Services
#CCS
#Ketua Pegawai Eksekutif MyCEB
#Azman Tambi Chik