MyCEB, ASTINDO jalin kerjasama dua hala bagi perkuat industri acara perniagaan

Astro Awani
Januari 19, 2024 19:00 MYT
Azman dan Pauline Suharno di majlis tandatangan MoC yang berlangsung di kota Jakarta pada Khamis.
KUALA LUMPUR: Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB) telah memulakan tahun ini dengan langkah kanan apabila berjaya menjalankan misi perdagangannya di Jakarta, Indonesia dengan fokus utama untuk mewujudkan kerjasama dengan Persatuan Ejen Pelancongan Indonesia (ASTINDO).
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MyCEB, Azman Tambi Chik, melalui misi tersebut sebuah Memorandum Kerjasama (MoC) telah termeterai dan secara tidak langsung dapat membina kerjasama dalam sektor acara perniagaan (BE).
Beliau berkata MoC tersebut ialah rangka kerja strategik yang memfokuskan kerjasama antara MyCEB dan ASTINDO termasuk usaha pemasaran dan promosi bersama bagi sektor perniagaan melalui perkongsian maklumat penyelidikan untuk tujuan kempen, inisiatif, program dan projek.
“Saya yakin bahawa hubungan yang baru terjalin ini akan memperkasakan kita untuk mencapai objektif yang bermanfaat kepada Malaysia dan Indonesia, termasuk pemulihan industri perniagaan negara kita, memudahkan pertukaran pengetahuan, dan meneroka peluang kerjasama perniagaan baharu,” katanya.
Sementara itu, Presiden ASTINDO Pauline Suharno pula berkata menerusi kerjasama dengan MyCEB ini, mereka mampu menjana keuntungan serta mewujudkan ekosistem yang dinamik dan berdaya tahan bagi memacu pertumbuhan industri kedua-dua negara.
Lawatan tiga hari MyCEB ke Jakarta termasuk mengunjungi Kementerian Pelancongan dan Ekonomi Kreatif serta terlibat dengan sesi dialog yang membina oleh Timbalan Menteri Produk Pelancongan dan Acara, Dr. Vinsensius Jemadu.
Selain itu, MYCEB turut mengadakan pertemuan dengan Persatuan Syarikat Pameran Indonesia (IECA-ASPERAPI) bagi membincangkan usaha sama masa pada hadapan berkenaan landskap acara perniagaan antarabangsa.
"IECA-ASPERAPI berbangga untuk menyaksikan dedikasi berterusan MyCEB untuk membina hubungan global melalui misi perdagangan ini sebagai bukti perkongsian jangka panjang yang produktif dan kepentingan kerjasama rentas sempadan dalam menggiatkan semula sektor acara perniagaan," kata Pengerusi IECA-ASPERAPI, Hosea Andreas Runkat,
MyCEB berkata Republik Indonesia menyatakan sokongan padu terhadap usaha kerjasama dalam membina komuniti Acara Perniagaan ASEAN (BE) antara negara.
Usaha strategik oleh MyCEB adalah selaras dengan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) Malaysia, Datuk Seri Tiong King Sing serta visi dan misi kementerian untuk bekerjasama dengan pemain acara perniagaan tempatan dan antarabangsa, sekali gus memperkukuh usaha Malaysia supaya mampu berdiri sebagai hab acara perniagaan global yang bertenaga.
#MyCEB #ASTINDO #Indonesia #Malaysia
;