myASEANinternship beri peluang pelajar teroka kepelbagaian budaya
Malik Ridhwan
April 21, 2016 22:59 MYT
April 21, 2016 22:59 MYT
Program myASEANinternship dilihat sebagai satu platform untuk graduan tempatan mendapat pendedahan kepada sektor korporat rantau ASEAN.
Melalui program ini, graduan turut berpeluang meraih manfaat latihan yang wujud hasil daripada integrasi ekonomi serantau.
Peserta 2015, Lim Ben-Jie mengakui banyak belajar daripada latihan industri di syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia.
“Saya telah diberi peluang untuk pergi ke Thailand, Filipina dan Indonesia untuk bertemu pihak pengurusan setiap negara. Jadi ini membuka mata saya untuk mengetahui setiap fungsi syarikat dan bagaimana ia beroperasi di seluruh ASEAN.
“Saya dapat memahami kepelbagaian budaya apabila berada di luar negara. Sesuatu tugas boleh dilakukan dengan cara yang berbeza di Malaysia dan Indonesia.
"Oleh itu, agak mencabar bagi saya kerana perlu memahami budaya mereka terlebih dahulu sebelum melaksanakan tugas,” kata graduan dari Taylor’s University itu ketika dijumpai Astro AWANI di myASEAN Market Day 2016.
Hasil usaha kerja kerasnya, Ben-Jie ditawarkan untuk jawatan tetap bersama AirAsia.
Bagi pelajar warga Indonesia yang mengikuti kursus perhubungan antarabangsa di Universiti Malaya, Ditya Hasna Karima, beliau banyak belajar budaya korporat ketika menjalani latihan industri di General Electric (GE) Malaysia.
“Ia banyak membantu saya untuk membina pengalaman saya dalam dunia korporat dan yang paling penting, menjalin hubungan bersama GE dan TalentCorp. Saya berpeluang bertemu dengan banyak pihak yang memberi inspirasi kepada saya dan juga ramai pelajar dari Malaysia dan seluruh ASEAN.
“Semasa menjalani latihan praktikal, saya banyak belajar tentang budaya korporat. Majikan (GE) melayan saya seperti pekerja tetap dan bukan sebagai pelatih. Mereka meletakkan kepercayaan kepada saya dengan memberi tugasan dan mengharapkan saya dapat menyelesaikannya dengan sendiri,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TalentCorp, Johan Mahmood Merican berkata bagi tahun 2016, jumlah tempat ditawarkan untuk latihan industri meningkat kepada 100 berbanding 40 sebelum ini.
Ini susulan penambahan 23 syarikat baharu yang mengambil bahagian dalam program tahun ini.
"Program myASEANinternship menawarkan peluang kepada anak-anak muda tempatan untuk membina kerjaya antarabangsa mereka di Malaysia, dengan majikan ternama yang berkembang di peringkat serantau dan syarikat multinasional yang telah menubuhkan ibu pejabat serantau di Malaysia,” kata Johan.
Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, bilangan syarikat akan ditambah pada masa depan sejajar dengan penubuhan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC).
"Memandangkan ASEAN bermatlamat untuk menjadi sebuah blok serantau tunggal dengan kuasa politik, diplomatik dan ekonomi yang penting, program myASEANinternship membolehkan belia kita untuk mendapatkan pemahaman yang jelas tentang rantau ASEAN serta peluang dan manfaat yang wujud hasil dari integrasi ekonomi serantau,” kata Mustapa.
Program myASEANinternship ini turut dibuka kepada syarikat di negara lain di ASEAN.
myASEAN Market Day merupakan satu platform yang dapat memberi peluang kepada pelajar untuk meningkatkan kebolehpasaran melalui sesi temu duga dan aktiviti lain.
Antara majikan ternama tempatan dan multinasional yang mengambil bahagian pada tahun ini adalah AirAsia, Axiata, CIMB, Digi, IKEA, Maybank, Mondelēz International, PwC, RHB Bank, Unilever dan Kumpulan UEM.
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) juga menyertai program myASEANinternship sebagai kementerian pertama yang menawarkan peluang latihan amali.
myASEANinternship adalah kerjasama di antara MITI dan Talent Corporation Malaysia (TalentCorp), yang membolehkan pelajar Malaysia yang cemerlang dari universiti tempatan dan luar negara melatih dengan majikan terkemuka di ASEAN.
Sementara itu, warga ASEAN yang menuntut di Malaysia dapat berlatih di Malaysia. Program ini juga dibuka kepada graduan baru yang menamatkan pengajian dalam tempoh enam bulan.
Sehingga kini, lebih daripada 500 pelajar dan graduan baharu dari sembilan negara ASEAN termasuk Malaysia, Brunei, Cambodia, Indonesia, Myanmar, Filipina, Thailand, Singapura dan Vietnam telah memohon untuk menyertai program ini.
Permohonan untuk program myASEANinternship 2016 masih terbuka. Untuk maklumat lanjut atau memohon, sila lawati www.talentcorp.com.my/myaseaninternship.
#AirAsia
#ASEAN
#Datuk Seri Mustapa Mohamed
#GE Malaysia
#Johan Mahmood Merican
#MITI
#myASEAN Market Day
#myASEANinternship
#TalentCorp