#MyAPEC2020: Pameran antarabangsa Kemakmuran Bersama bersatu di pentas APEC
Harits Asyraf Hasnan
Februari 21, 2020 17:12 MYT
Februari 21, 2020 17:12 MYT
Sabah bakal menyaksikan perhimpunan para peniaga, usahawan, pelabur dan pedagang seiring penganjuran Mesyuarat Menteri-menteri Perdagangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).
Pengarah Sektor ASEAN & Oceania, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Raja Badrulnizam Raja Kamalzaman berkata pameran antarabangsa tiga hari bermula 20 April itu akan melibatkan lebih 200 pempamer dari seluruh 21 anggota ekonomi APEC.
Ujarnya, pameran itu seiring Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 apabila enam sektor utama perniagaan akan terlibat secara langsung.
“Dalam pemilihan pempamer, kita sasarkan enam bidang keutamaan iaitu perniagaan wanita, pemuda, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), syarikat pemula, Bumiputera dan keusahawan sosial.
“Bagaimana kita hendak ketengahkan supaya bukan hanya ketengahkan Malaysia sebagai ekonomi membangun, tetapi juga Sabah sebagai negeri yang menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Menteri Perdagangan, satu mesyuarat yang sangat penting,” katanya kepada media di sini hari ini.
Jelasnya, buat masa ini, MATRADE merekodkan 135 penyertaan pempamer dari Malaysia manakala baki adalah dari anggota APEC yang lain.
Menurut Raja Badrulnizam lagi, dalam situasi ekonomi yang melanda China yang merupakan antara pengeksport terbesar dunia, kini masa dan peluang kepada Malaysia serta anggota ASEAN dan APEC yang lain untuk mengetengahkan produk dan perkhidmatan mereka.
“Bagi pembeli luar, mereka minat nak beli daripada Malaysia. Sekarang kita tahu, dalam keadaan China pada ketika ini, produk mereka tidak dapat sedikit perhatian.
“Walaupun mereka (China) adalah antara pengeksport terbesar, pembeli kini mencari sumber berlainan daripada China. Jadi ini peluang kita untuk pertingkatkan jualan dengan menjemput lebih banyak lagi pembeli,” katanya.
Pada pameran antarabangsa yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) itu, terdapat tiga komponen utama iaitu fizikal, maya dan padanan perniagaan.
Ditanya berkenaan kebimbangan penularan wabak COVID-19, beliau berkata pelbagai langkah telah diambil oleh kerajaan dalam menangani isu tersebut.
Malah, buat masa ini, tiada sebarang respon negatif daripada para pempamer dan pembeli terhadap penganjuran pameran antarabangsa itu susulan penularan wabak COVID-19.
#APEC
#APEC 2020
#ASEAN
#Bumiputera
#ekonomi
#Matrade
#MITI
#MyAPEC2020
#pedagangan
#perhimpunan
#usahawan