#MyAPEC2020: Naratif Kemakmuran Bersama jadi pemboleh ubah ekonomi rantau Asia Pasifik
Hafidah Samat
Disember 11, 2019 12:34 MYT
Disember 11, 2019 12:34 MYT
Pembangunan ekonomi digital dan teknologi dalam memastikan kelestarian ekonomi serantau Asia Pasifik perlu diambil kira sebagai hala tuju yang bakal menjadi faktor pemboleh ubah dalam penganjuran Sidang Kemuncak Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020 pada November 6-12, 2020.
Pengerusi Mesyuarat Kanan APEC 2020, Hairil Yahri Yaacob di Mesyuarat Tidak Rasmi Pegawai-pegawai Kanan APEC di sini, hari ini berkata agenda utama ini bakal menjadi hala tuju yang bakal menjadi tunjang utama persidangan yang akan berlangsung di Kuala Lumpur dan Putrajaya tahun depan.
Bagi memacu agenda utama APEC 2020, Malaysia mengambil tanggungjawab dalam menentukan setakat mana setiap faktor atau pemboleh ubah dalam beberapa bidang keutamaan melalui ekonomi digital dan teknologi dalam memacu kelestarian ekonomi inovatif.
Antara agenda utama lain termasuk pembangunan naratif perdagangan dan pelaburan serta memacu kelestarian inovatif agar dapat dirasai masyarakt dalam rantau Asia Pasifik.
“Dengan mengambil kira hasil penyampaian setiap bidang berkenaan, kami berharap agar APEC dapat mencapai objektif asas untuk pembangunan ekonomi mampan dan kekayaan di rantau Asia Pasifik,” kata Hairi Yahri.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaan sebelum perbincangan yang melibatkan lebih 100 delegasi tempatan dan antarabangsa dari 21 ekonomi APEC 2020. Mesyuarat ini turut dihadiri Pengerusi APEC, Tan Sri Datuk Dr Rebecca Fatima Sta Maria dan pegawai-pegawai Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI).
Namun, beliau turut menegaskan perubahan tidak akan berlaku sekelip mata malah secara berperingkat dengan mengambil kira beberapa proses yang akan dirangka secara terperinci serta tersusun untuk mencapai pembangunan ekonomi seperti yang diharapkan.
“Kita perlu ingat bahawa komitmen pada tahun 2020 perlu menjurus kepada peluang jajaran ekonomi yang luas yang tidak hanya terbatas kepada badan korporat, sebaliknya kemakmuran bersama itu harus dirasai oleh rakyat,” kata Hairil Yahri.
“Inilah aspirasi APEC 2020,” tambahnya.
#dagangan
#Dr Mahathir Mohamad
#ekonomi mampan
#Hairil Yahri Yaacob
#ISOM
#Langkawi
#Malaysia
#Malaysia Baharu
#MITI
#MyAPEC2020
#pelaburan
#Wawasan 2020