MYAirline tawar lebih pilihan perjalanan kepada penuntut menerusi FLYsiswa

Bernama
Ogos 18, 2023 09:50 MYT
Tambang sehala dari Terminal 2 KLIA ke semua destinasi operasi MYAirline di Sabah dan Sarawak, adalah RM130, manakala tambang sehala dari Terminal 2 KLIA ke semua destinasi operasi MYAirline di Semenanjung Malaysia, ialah RM80. - Foto MYAirline
KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan tambang rendah terbaharu Malaysia MYAirline Sdn Bhd menawarkan dua pilihan perjalanan untuk penuntut di kedua-dua institusi pengajian tinggi awam dan swasta melalui FLYsiswa dan Program Penuntut MYAirline.
Dalam satu kenyataan semalam, ia berkata inisiatif FLYsiswa Kementerian Pengangkutan memberikan baucar RM300 untuk pembelian tiket penerbangan kepada penuntut yang mendaftar di institusi pengajian tinggi awam di seluruh Malaysia.
"Baucar tersebut boleh ditebus untuk satu atau beberapa pembelian penerbangan sehingga 31 Dis 2023, dengan tempoh perjalanan sehingga akhir Mac 2024," kata syarikat penerbangan itu.
Untuk memanfaatkan inisiatif tambang penerbangan FLYsiswa, penuntut yang layak perlu mengesahkan kelayakan mereka di subsidiudara.mot.gov.my, dan terus mendaftar di halaman pendaftaran FLYsiswa MYAirline, katanya.
Selepas itu, syarikat penerbangan itu berkata, penuntut akan dikehendaki memasukkan kod unik mereka semasa proses tempahan di tapak web MYAirline.
Sementara itu, Program Penuntut MYAirline menawarkan diskaun sebanyak 20 peratus untuk tiket penerbangan domestik dan 15 kilogram elaun bagasi percuma kepada penuntut tempatan dan antarabangsa.
"Dengan lebih 2,700 penuntut berdaftar sejak dilancarkan pada Jun 2023, program ini memainkan peranan penting dalam mengurangkan perbelanjaan perjalanan bagi penuntut yang ingin pulang ke tanah air atau mereka yang ingin meluaskan perjalanan hidup mereka dengan pengalaman baharu," katanya.
MyAirline juga berkata penuntut yang layak boleh membeli tempat duduk saat akhir (dasar siap sedia) pada hari pelepasan penerbangan di kaunter daftar masuk lapangan terbang.
Tambang sehala dari Terminal 2 KLIA ke semua destinasi operasi MYAirline di Sabah dan Sarawak, adalah RM130, manakala tambang sehala dari Terminal 2 KLIA ke semua destinasi operasi MYAirline di Semenanjung Malaysia, ialah RM80.
Kerajaan telah memperkenalkan inisiatif subsidi bernilai RM300 untuk pembelian tiket penerbangan penuntut universiti awam bagi laluan domestik antara semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan bermula pada 15 Ogos.
Ketua Pegawai Eksekutif MYAirline Rayner Teo berkata inisiatif yang diambil oleh Kementerian Pengangkutan akan meringankan beban yang dihadapi penuntut dan keluarga mereka, khususnya dalam merapatkan hubungan antara Semenanjung Malaysia dan Sarawak, Sabah dan Labuan.
"Inisiatif ini, sejajar dengan Program Pelajar MYAirline kami, merangkumi komitmen kami untuk menyediakan ketersambungan, memudahkan penerokaan, memupuk rasa ingin tahu dan menjadikan perjalanan sebagai sebahagian daripada usaha pendidikan setiap penuntut," katanya.
-- BERNAMA
#MYAirline #FLYsiswa #penuntut IPT #tiket penerbangan
;