My Local Stats: Bantu pembuat dasar, tingkat kesejahteraan rakyat

Harits Asyraf Hasnan
Oktober 19, 2020 13:13 MYT
Mustapa berkata penerbitan tersebut akan menjadi sumber rujukan dan asas penting dalam menggubal sekaligus melaksanakan polisi kerajaan untuk tujuan pembangunan negara dan kepentingan rakyat dalam merealisasikan hasrat kerajaan. - Foto DOSM
KUALA LUMPUR: Statistik terperinci yang diterbitkan menerusi My Local Stats amat diperlukan bagi membolehkan kerajaan membuat perancangan hingga peringkat daerah serta memastikan agihan sumber yang berkesan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata keputusan yang dibuat dengan betul serta berasaskan bukti dan fakta yang menyeluruh amat penting dalam usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, penerbitan tersebut akan menjadi sumber rujukan dan asas penting dalam menggubal dan melaksanakan polisi kerajaan untuk tujuan pembangunan negara dan kepentingan rakyat dalam merealisasikan hasrat kerajaan.
"Pastinya dengan ketersediaan statistik yang teguh, penyaluran sumber negara bagi perancangan dan pembangunan dapat dilaksanakan secara cekap dan berkesan.
"Dengan adanya My Local Stats ini, penilaian terhadap sesuatu kawasan dapat dibuat dan seterusnya melihat jurang pembangunan yang berlaku antara daerah.
"Saya yakin dengan penghasilan statistik ini, pelbagai kajian di peringkat daerah dapat dibuat bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat," katanya ketika melancarkan My Local Stats secara maya hari ini.
My Local Stats merupakan penerbitan yang memuatkan statistik sosioekonomi utama di peringkat daerah pentadbiran bagi siri masa 2017 hingga 2019.
Selain itu, Mustapha berkata penghasilan indeks di peringkat daerah pentadbiran juga dapat dilaksanakan berdasarkan statistik yang tersedia yang memberi gambaran sebenar situasi semasa Malaysia di peringkat tempatan.
Dalam pada itu, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, ketersediaan statistik di peringkat tempatan yang lebih terperinci membolehkan perancangan dan pemantauan pelaksanaan serta keberkesanan polisi awam setempat dapat dilakukan.
"Selanjutnya pengukuran pencapaian dan penilaian sosioekonomi mengikut daerah dapat dizahirkan melalui penerbitan ini.
"Akhirnya ia akan memberi manfaat kepada masyarakat keseluruhannya dengan terhasilnya perancangan dan pengurusan sumber yang lebih cekap oleh pihak yang membuat keputusan di peringkat daerah dan kerajaan tempatan," katanya.
Penerbitan My Local Stats ini mengandungi 20 bidang statistik sosioekonomi antaranya Penduduk; Perumahan; Pasaran Buruh, Pekerjaan dan Pengangguran; Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah; Pendidikan; Kesihatan; Perkhidmatan Kebajikan; Keselamatan Awam; Perhubungan dan Rekreasi; Internet dan Media Sosial; dan Kemudahan Asas.
Penerbitan bagi setiap daerah yang mengandungi 101 jadual statistik turut memuatkan statistik berkaitan pasaran buruh, perkahwinan dan perceraian, kebakaran, banduan, kemalangan jalan raya, penagihan dadah dan kamera litar tertutup (CCTV).
#Mustapa Mohamed #My Local Stats #statistik peringkat daerah #dasar kerajaan #statistik #Jabatan Statistik Malaysia #DoSM #indeks peringkat daerah #Mohd Uzir Mahidin
;