Mustapa sangkal dakwaan ekonomi negara akan merudum pada September
Bernama
Mei 7, 2017 18:15 MYT
Mei 7, 2017 18:15 MYT
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa ekonomi Malaysia akan merudum menjelang September depan.
Beliau berkata dakwaan itu hanyalah khabar angin memandangkan negara kini sedang bersiap-sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Mustapa berkata setakat ini tiada mana-mana pihak yang mampu membuat unjuran yang tepat terhadap ekonomi negara walaupun terdapat beberapa perkembangan global yang berlaku di luar jangkaan.
"Yang pastinya ekonomi dunia (dan Malaysia) bertambah baik. Rekod perdagangan kita menunjukkan pada suku pertama tahun ini berkembang kira-kira 23 peratus dan merupakan rekod tertinggi sejak 2010.
"Kita tak pernah jangka ia berlaku. Saya tak nampak apa-apa perubahan dalam landskap pelaburan dan perdagangan (ketika ini) malah dari sudut pelaburan ia meningkat begitu ketara," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Istiadat Konvokesyen ke-4 Politeknik Jeli yang turut dihadiri Pengarahnya, Wan Azlan Wan Ismail di sini, hari ini.
Seramai 136 pelajar dalam jurusan Diploma Agroteknologi dan Akuakultur menerima sijil dalam bidang masing-masing pada majlis tersebut.
-- BERNAMA