Mustapa: Perdagangan Malaysia dijangka berkembang 2 peratus
Malik Ridhwan
Februari 11, 2016 18:24 MYT
Februari 11, 2016 18:24 MYT
Jumlah perdagangan negara diunjur berkembang dua peratus pada 2016 meskipun persekitaran ekonomi yang mencabar.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata pertumbuhan ini disokong perdagangan di pasaran ASEAN.
Katanya ASEAN merupakan rantau dagangan terbesar yang memberi sumbangan ketara kepada jumlah dagangan Malaysia.
“Tahun ini (keadaan ekonomi) masih agak mencabar. Kami jangkakan lebih kurang 2 peratus." DATUK SERI MUSTAPA MOHAMED Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri
Jumlah perdagangan Malaysia bagi 2015 meningkat 1.2 peratus kepada RM1.466 trilion dengan eksport berkembang 1.9 peratus.
Manakala lebihan dagangan naik 14 peratus.
“Kita telah menikmati lebihan dagangan untuk bertahun-tahun. Tahun lepas terdapat peningkatan sebanyak 14 peratus dan ini adalah perkembangan yang sangat mengalakkan.
“Kami berharap dapat kekalkan (momentum) ini. Kami juga dapat meningkatkan eksport dalam suasana ekonomi yang mencabar dan juga meningkatkan lebihan dagangan," kata Mustapa selepas merasmikan program Generation of New Exporters (GenEX) di sini pada Khamis.
Tambah Mustapa, kerajaan berhasrat untuk tingkatkan bilangan usahawan bumiputera sedia eksport melalui program di bawah Generasi Muda Berjaya.