Musim perayaan: Diskaun servis kereta hingga 30 peratus di Petronas AutoExpert - Armizan
Khalis Khadir
Januari 20, 2025 17:37 MYT
Januari 20, 2025 17:37 MYT
PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) komited memperkenalkan Servis Ihsan MADANI@Petronas AutoExpert atau SIM@PAX.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ia merupakan inisiatif bersama Petronas bagi membantu golongan berpendapatan rendah mengurangkan kos penyelenggaran kereta.
“Diskaun ini antara 10 hingga 30 peratus akan dinikmati pengguna, kita akan mula serta-merta menjelang musim perayaan Tahun Baharu Cina ini mula 24 hingga 28 Januari di keseluruhan Petronas Autoexpert seluruh negara, ada sekitar 130 bengkel tapi musim perayaan kali ini, kita mulakan di 95 bengkel dahulu,” katanya.
Armizan yang mengulas dalam sidang media selepas Majlis Perutusan Hala Tuju KPDN 2025, di sini, pada Isnin menambah, projek rintis ini menawarkan pengurangan harga minyak pelincir jenis mineral dan semi-sintetik.
Orang ramai boleh membuat temu janji sebelum hadir ke Petronas AutoExpert melalui aplikasi Setel.
Armizan berkata, SIM@PAX akan dilaksanakan pada setiap musim perayaan utama Malaysia bermula tahun ini melibatkan Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidil Fitri dan Aidiladha, Pesta Kaamatan, Hari Gawai, Deepavali, Krismis dan Hari Kebangsaan.
Terdahulu, Armizan berkata, Hala Tuju 2025 KPDN adalah berdasarkan kepada empat fokus yang diakronimkan sebagai K.P.D.N.
Ia merupakan Ketangkasan Penguatkuasaan, Pemacu Ekonomi Domestik, Daya Upaya Pengguna dan Advokasi Kepenggunaan serta NACCOL (Jawatankuasa Eksekutif Majlis Tindakan Sara Hidup Negara).
Bagi memastikan K.P.D.N direalisasikan secara strategik, beliau berkata empat fokus itu akan digerakkan melalui empat teras pemacu dikenali sebagai K.I.T.A.
K.I.T.A ialah Keterangkuman Kerajaan dan Kecemerlangan, Iltizam Industri, Tekad Tatakelola serta Aspirasi dan Partipasi Awam