Muhyiddin umum pakej 'PEMERKASA' untuk rakyat, industri petang ini
Firdaus Azil
Mac 17, 2021 15:48 MYT
Mac 17, 2021 15:48 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka akan mengumumkan satu lagi pakej khusus bagi memperkasa rakyat dan industri pada 5.30 petang ini.
Menurut catatan terbaharu di laman sosial rasmi beliau, pakej itu dikenali sebagai 'PEMERKASA', namun tiada perincian lanjut diberikan.
Ia merupakan kesinambungan daripada inisiatif yang telah diperkenalkan sebelum ini, termasuk Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Prihatin PKS bernilai RM260 bilion, masing-masing pada Mac dan April tahun lalu.
Berdasarkan laporan Kementerian Kewangan (MOF), kedua-dua pakej berkenaan telah memanfaatkan sekitar 20 juta, serta 2.4 juta perniagaan pelbagai sektor.
Selain kedua-dua pakej induk itu, Kerajaan turut memperkenalkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) pada pertengahan tahun lepas, merangkumi lebih 12.5 juta individu dan 350,000 perniagaan.
Turut diperkenalkan Pakej Kerangka Inisiatif Tambahan Khas: Kita Prihatin berjumlah RM10 bilion memanfaatkan lebih 10.1 juta individu dan 705,000 perniagaan.
Awal tahun ini, inisiatif kelima iaitu Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) bernilai RM15 bilion pula diumumkan.
Pada awal tahun ini, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dilaporkan berkata, pakej rangsangan terbaharu tersebut akan memberi pengkhususan kepada kumpulan yang masih belum mampu pulih, seperti sektor pelancongan.
"Di sini kita sedang membuat perbincangan di peringkat Kementerian Kewangan bersama-sama dengan kementerian-kementerian berkenaan, bagaimana kita boleh menolong terutamanya sektor yang masih terkesan akibat penularan pandemik COVID-19.
"Pengumuman itu akan dibuat dalam masa terdekat. Apa yang penting adalah mereka perlu 'restart' dan ada segelintir (sektor) yang tidak boleh 'restart', sebagai contoh pelancongan," katanya lagi.
* Astro AWANI akan membawakan 'Pengumuman Khas Perdana Menteri - PEMERKASA' di Saluran 501, Live TV dan semua platfom media sosial Astro AWANI pada jam 5.30 petang ini.
#Perdana Menteri
#Muhyiddin Yassin
#COVID-19
#Kementerian Kewangan
#Tengku Zafrul
#PEMERKASA
#perutusan khas perdana menteri
#PRIHATIN
#PENJANA
#PERMAI