'Mueller lebih sesuai jadi perunding, bukan Ketua Eksekutif MAS'

Astro Awani
Disember 7, 2014 21:32 MYT
REEZAL: Keutamaan harus diberi kepada pakar tempatan
Jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia Airlines Bhd (MAS NewCo) seharusnya diterajui oleh pakar tempatan dan ini harus diberi keutamaan.
Megulas tentang pelantikan CEO Aer Lingus, Christoph R. Mueller, seorang warga Jerman, untuk menerajui MAS, Ahli Parlimen Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata ia lebih sesuai jika Mueller berperanan sebagai perunding (consultant) dan bukannya seorang Ketua Eksekutif.
“Saya pernah menyuarakan isu yang sama sewaktu Petronas mengumumkan pelantikan seorang pakar luar sewaktu menubuhkan 'Vestigo Petroleum' baru-baru ini.
“Tenaga dan kepakaran tempatan mestilah diberikan keutamaan dalam apa jua keadaan. Isu ini saya bangkitkan secara jelas di Dewan Rakyat,” kata Reezal dalam satu kenyataan.
Beliau turut berkata bahawa usaha melantik mana-mana kepakaran luar untuk mengetuai mana-mana agensi, syarikat berkaitan kerajaan, anak syarikat milik penuh GLC dan kerajaan, wajarlah melalui proses dan pandangan yang menyeluruh dan holistik.
“Saya mengakui, bahawa industri aviasi ini adalah satu industri yang sangat strategik dan penting. Namun ia tidak seharusnya membenarkan pelantikan pengurusan tertinggi dilakukan secara simplistik dan mudah.
“Saya cukup maklum, bahawa survival syarikat penerbangan nasional seperti MAS adalah sesuatu yang dekat di hati ramai rakyat Malaysia. Namun, model pemulihan syarikat penerbangan ini bukanlah terlalu saintifik dan kompleks sifatnya. Pokok pangkalnya adalah kombinasi disiplin, tadbir urus kewangan; dan pemantapan pengurusan. Cukup malang, jika asas ini pun tidak mampu diterajui oleh pakar tempatan.
Reezal turut meluahkan kebimbangan jika Mueller peka dengan agenda ekonomi nasional dalam membuat keputusan atau merunding semula kontrak bekalan.
“Apakah CEO baru ini faham dengan implikasi keputusan dasar yang dibuat kepada agenda besar Bumiputera/ekonomi nasional nanti? Atau keputusannya akan hanya bergantung kepada 'profit and loss' semata-mata,” katanya.
Pada 5 Disember, Khazanah Nasional mengumumkan pelantikan Mueller sebagai CEO MAS berkuatkuasa 1 Januari 2015.
Mueller juga dinamakan sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Lembaga Pengarah MAS.
Pelantikan Mueller dipersetujui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurut Najib, pelantikan beliau penting dalam meletakkan asas yang kukuh demi kejayaan masa depan syarikat penerbangan nasional itu.
#CEO #Christoph Mueller #Malaysia Airlines #MAS #Reezal Merican Naina Merican
;