Bakal Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia Airlines (MAS), Christoph R. Mueller dilihat lebih sesuai menjadi seorang 'Konsultan' dan bukan jawatan yang akan dipegangnya 1 Januari depan.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, tenaga dan kepakaran tempatan harus diberikan keutamaan dalam apa jua keadaan selain ia sudah dibangkitkan secara jelas di Dewan Rakyat.
"Industri aviasi ini adalah satu industri yang sangat strategik dan penting; namun ia tidak seharusnya membenarkan pelantikan pengurusan tertinggi dilakukan secara simplistik dan mudah.
"Walaupun mungkin Mueller adalah 'pakar terbaik' di dalam industri penerbangan dan aviasi; beliau masih boleh berperanan sebagai 'Konsultan' dan bukannya seorang CEO," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pada Jumaat, Khazanah Nasional mengumumkan pelantikan CEO Aer Lingus, iaitu syarikat penerbangan kebangsaan Ireland, Mueller sebagai CEO MAS selain sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Lembaga Pengarah MAS.
Tegas Reezal, usaha melantik mana-mana kepakaran luar untuk mengetuai mana-mana agensi atau syarikat berkaitan kerajaan dan anak syarikat milik penuh syarikat milik kerajaan (GLC) dan kerajaan harus melalui proses dan pandangan yang menyeluruh dan holistik.
Jelasnya, beberapa perkara teras kepada 'pelan pemulihan MAS' memerlukan kefahaman dan sikap yang menyeluruh kepada impak keputusan yang bakal dibuat oleh pentadbiran baru nanti.
"Pendanaan sehingga RM6 bilion dengan syarat yang ketat dan pengurangan nisbah bersih hutang berbanding modal (gearing) kepada kira-kira 120 peratus.
"Apakah CEO baru faham dengan tanggungjawab besar pendanaan RM6 bilion ini? Sebagai seorang pakar, beliau boleh sahaja meninggalkan amanah ini sekerat jalan tanpa mempunyai 'pertanggungjawaban nasional' dalam mengurus suntikan dana kerajaan ini," ujarnya.
Kata Reezal, kepakaran Mueller masih boleh diperoleh dengan kaedah yang lain dan bukan sebagai seorang CEO.
"Kekhuatiran ini turut dikongsi oleh ramai rakan-rakan yang merasakan, Malaysia tidak kekurangan pakar tempatan waima dalam industri strategik seperti penerbangan ini.
"Ya, kita boleh bersikap pragmatik dalam segenap hal - namun ianya tidak bermakna kita boleh mengambil mudah dan tidak melihat isu ini dalam konteks yang lebih luas dan holistik.
"Saya cukup maklum, bahawa survival syarikat penerbangan nasional seperti MAS adalah sesuatu yang dekat di hati ramai rakyat Malaysia. Namun, model pemulihan syarikat penerbangan ini bukanlah terlalu saintifik dan kompleks sifatnya," jelasnya.
Oleh itu katanya, pokok pangkalnya adalah kombinasi disiplin, tadbir urus kewangan; dan pemantapan pengurusan selain melihat situasi yang cukup malang, jika asas ini pun tidak mampu diterajui oleh pakar tempatan.