Mueller berdepan tugas sukar - Abdul Aziz

Najib Aroff
Disember 8, 2014 15:53 MYT
Pelantikan Mueller bakal berkuatkuasa 1 Januari 2015 namun kontrak beliau bersama syarikat penerbangan Ireland, Aer Lingus hanya akan berakhir pada Mei 2015. - Foto Fail
Pelantikan Christoph R Mueller sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baru MAS Newco mengundang pelbagai reaksi awam.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif MAS Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman berpendapat kepakaran tempatan harus dipilih berbanding kepakaran asing.
Menurut Abdul Aziz, fokus kini bukan untuk pemulihan MAS sebaliknya menjalankan syarikat baru iaitu MAS Newco.
"Orang tidak faham, sekarang ini bukan kita hendak pulih MAS, tetapi tugasnya menjalankan satu syarikat baharu. MAS lama ditutup, aset syarikat lama di bawa ke syarikat baru".
"Justeru, calon tempatan yang bagus dalam pengurusan juga boleh lakukan", kata beliau ketika dihubungi Astro Awani.
Abdul Aziz berkata wujud perbezaan antara memulihkan MAS serta menjalankan syarikat baharu.
Tambahnya, Mueller mungkin berdepan cabaran besar berikutan perbezaan suasana sektor penerbangan negara ini, polisi kebangsaan dan nilai kenegaraan yang selama ini di bawa oleh MAS.
"Beliau ini tidak ada roh MAS. Ia bukan sahaja membawa keuntungan kembali tetapi imej negara dan kepentingan negara juga perlu dijaga", katanya.
Abdul Aziz turut menyuarakan kebimbangan kemungkinan kebajikan pekerja tidak dijamin berikutan MAS Newco bakal beroperasi di bawah sebuah syarikat baru dan tertakluk kepada undang-undang MAS.
"Kesatuan tidak boleh jadi penghalang lagi, kesatuan akan dihapuskan di bawah undang-undang MAS.
Pekerja akan diberhentikan dan dilantik semula melalui proses temubual", katanya.
Ketika ditanya siapa yang layak menduduki kerusi panas itu, beliau berkata " Saya tidak boleh sebut nama, tetapi jika diminta pendapat, saya boleh beri dua tiga nama".
Semalam Persatuan Anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) menyatakan persetujuan dengan pelantikan itu setelah mengambil kira segala keputusan akhir berkait kewangan akan ditentukan oleh pemegang kepentingan tempatan.
Pelantikan Mueller mula berkuatkuasa 1 Januari 2015 namun kontrak beliau bersama syarikat penerbangan Ireland, Aer Lingus hanya akan berakhir pada Mei 2015.
Mueller merupakan individu berpengalaman luas dalam sektor penerbangan selepas berjaya memulihkan Aer Lingus yang hampir muflis pada 2009 akibat persaingan sengit di pasaran Eropah.
Pelantikan beliau merupakan salah satu dari 12 langkah pemulihan MAS yang diumumkan pemegang kepentingan utama MAS, Khazanah Nasional Berhad.
Khazanah sebelum ini menerima kelulusan pemegang saham minoriti bagi menjual kepentingan mereka pada 27 sen sesaham bagi membolehkan dana pelaburan asing kerajaan itu memiliki MAS sepenuhnya.
#bekas ketua pegawai eksekutif MAS #Christoph R Mueller #Ketua Pegawai Eksekutif #MAS NewCo #Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman
;