MTEM bantah SME Bank bergabung dengan Bank Pembangunan, EXIM Bank

Astro Awani
Ogos 23, 2024 12:35 MYT
Ahmad Yazid berpandangan, penggabungan itu, jika diteruskan pastinya akan menghadkan pilihan PKS Bumiputera. - Foto/Dagangnews
KUALA LUMPUR: Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) berpandangan hasrat Bank Pembangunan dan EXIM Bank untuk bergabung dengan SME Bank tidak boleh diteruskan.
Felo Kanan MTEM, Ahmad Yazid Othman berkata, pihaknya berkongsi kerisauan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) bahawa penggabungan triparti itu disifatkan sebagai tidak wajar melibatkan SME Bank, atas fungsi hakikinya menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera selaku tunjang ekonomi negara.
Jelas beliau lagi, penggabungan itu, jika diteruskan pastinya akan menghadkan pilihan PKS Bumiputera kerana SME Bank bakal menjadi sebahagian daripada entiti yang tidak perlu lagi menyokong tanggungjawab hakiki tersebut.
"MTEM melihat penggabungan ini lebih menguntungkan Bank Pembangunan dan EXIM Bank yang mungkin memerlukan SME Bank sebagai pelengkap kepada kekurangan mereka, dan bukanlah sebagai rakan kongsi sebenar yang boleh memberi nilai tambah khususnya buat usahawan Melayu dan Bumiputera.
"Pada masa yang sama MTEM juga bimbang risiko kehilangan pekerjaan khususnya buat hampir 95 peratus kakitangan Bumiputera dari SME Bank akibat daripada pertindanan perjawatan antara bank," katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.
Ahmad Yazid menambah, MTEM berpandangan bahawa sekiranya SME Bank benar-benar mahu memperluaskan liputan dan spektrum perkhidmatannya, mereka lebih sesuai untuk bergabung dengan institusi kewangan patuh syariah atau yang seumpamanya yang mampu memberi pilihan lebih luas kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan.
Ujarnya lagi, peranan institusi kewangan seperti SME Bank perlu dikekalkan dalam menyokong agenda Malaysia Madani dan inisiatif Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) yang diumumkan, baru-baru ini.
"Kami juga agak hairan apabila mendapati ura-ura penggabungan berskala besar seperti ini hampir tidak kedengaran di pentas perdana.
"Bahkan hampir langsung tidak diketahui oleh agensi kerajaan dan para pemegang taruh yang mewakili kepentingan lebih 9.2 juta perniagaan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta ribuan lagi pekerja institusi perbankan terbabit," kata beliau.
Sehubungan itu, beliau berkata, MTEM menegaskan agar cadangan penggabungan tersebut atau penggabungan institusi-institusi syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) pada masa hadapan hendaklah melalui proses libat-urus yang komprehensif sebelum dibawa ke peringkat yang lebih tinggi untuk diluluskan.
"Lantaran tidak melalui proses libat urus yang panjang dan menyeluruh ini, dan demi menjaga kepentingan umum terutamanya jutaan usahawan PMKS Bumiputera, MTEM mendesak agar cadangan penggabungan triparti Bank Pembangunan-EXIM Bank dan SME Bank dibatalkan serta-merta," tambah Ahmad Yazid.
#MTEM #Bumiputera #Bank Pembangunan #Exim Bank
;