MTDC umum penyenaraian 3REN Berhad di Pasaran ACE Bursa Malaysia
Amzar Alif
Oktober 9, 2024 21:07 MYT
Oktober 9, 2024 21:07 MYT
KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) hari ini mengumumkan syarikat pelaburannya, 3REN Berhad, bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia bermula 6 November ini.
Pengumuman itu dibuat semasa pelancaran Prospektus Tawaran Awam Permulaan (IPO) di ibu negara, oleh Ketua Pegawai Eksekutif MTDC, Mohammad Hazani Hassan.
Mohammad Hazani menyifatkan penyenaraian 3REN sebagai pencapaian penting dalam perkembangan syarikat tersebut, yang turut mencerminkan kemampuan syarikat tempatan untuk bekerjasama dengan syarikat multinasional.
Beliau juga menegaskan, MTDC berbangga kerana dapat menyokong pertumbuhan 3REN sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Penyenaraian 3REN di Bursa Malaysia bukan sahaja mencerminkan kejayaan syarikat tersebut, tetapi juga menunjukkan peranan penting MTDC dalam membangunkan syarikat-syarikat berinovatif dan perusahaan kecil serta sederhana (PKS) di Malaysia.
“Dengan sumber kewangan dan nasihat yang diberikan, kami berjaya membimbing 3REN untuk melangkah ke tahap seterusnya,” katanya.
Menurutnya, MTDC telah menyumbang sebanyak RM8.8 juta kepada 3REN Berhad di bawah program Dana Pertumbuhan Perniagaan bagi membantu syarikat tersebut memperluaskan inovasi dalam sektor semikonduktor, elektronik serta pembuatan ke peringkat serantau dan global.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif 3REN Berhad, Koh Dim Kuan teruja dengan prospek pertumbuhan syarikat di masa hadapan.
Beliau menyatakan, sokongan MTDC telah membantu memperkukuhkan kedudukan 3REN di peringkat serantau dan kini mereka bersedia untuk berkembang di tahap antarabangsa.
“Kami mengambil langkah ini sebagai petunjuk untuk membawa syarikat ke tahap yang lebih tinggi dengan mengembangkan perkhidmatan kejuruteraan produk serta jejak global.
“Kami juga sedang menubuhkan pejabat pertama di Singapura dan memperkukuh keupayaan untuk terus menyampaikan inovasi serta penyelesaian bagi membolehkan operasi perniagaan yang lebih pintar,” ujarnya.
Dengan fokus kepada pengembangan di pasaran utama seperti Asia Tenggara, 3REN Berhad dijangka terus menjadi peneraju dalam penyelesaian automasi dan perkhidmatan kejuruteraan sekali gus memberikan impak positif kepada industri semikonduktor, elektronik dan pembuatan di rantau ini.