MTDC dan SME Corp jalin kerjasama bantu usahawan PKS

Astro Awani
Disember 11, 2023 17:36 MYT
Menerusi perkongsian ini, MTDC dan SME Corp akan bekerjasama rapat untuk membangunkan hubungan dan platform simbiotik. - Gambar ihsan MTDC
KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Teknologi Malaysia (MTDC) dan SME Corporation Malaysia (SME Corp) bekerjasama dan membina perkongsian bagi memupuk pertumbuhan keusahawanan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia bagi menembusi pasaran eksport.
Bagi menjayakan usaha tersebut, kedua-dua agensi tersebut secara rasmi bertukar Memorandum Persefahaman (MoU) pada Isnin.
Pertukaran MoU itu menandakan satu langkah penting ke hadapan kerana perkongsian strategik itu bertujuan untuk memanfaatkan kekuatan kedua-dua pihak.
Menerusi perkongsian ini, MTDC dan SME Corp akan bekerjasama rapat untuk membangunkan hubungan dan platform simbiotik, berkongsi pandangan perniagaan yang berharga, dan mencipta program komprehensif untuk meningkatkan daya saing dan inovasi usahawan Malaysia.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MTDC, Mohammad Hazani Hassan, perkongsian yang diperbaharui dengan SME Corp ini akan mengukuhkan lagi kerjasama dan memanfaatkan kepakaran dalam memupuk dan menyokong perusahaan yang dipacu teknologi.
“Pertamanya, kami akan memberikan sokongan yang relevan kepada SME Corp dalam kerjasama ini termasuk pembinaan keupayaan usahawan dan pihak berkepentingan lain.
“Perkara kedua, sudah tentu untuk mereka bentuk dan membangunkan program, ini sudah pun direka bentuk dan dibangunkan program yang kami lakukan bersama-sama dengan SME Corp.
“Dengan menggunakan rantaian bekalan kami, sekali lagi program kami seperti yang saya katakan, kami bukan hanya menyasarkan bilangan syarikat tetapi apa yang kami bawa adalah ekosistem syarikat,” katanya pada sidang media selepas pertukaran MoU antara kedua-dua agensi.
Sementara itu bagi Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Nainy pula, kerjasama ini bertujuan untuk membantu memperkasakan PKS dan berusaha untuk membawa mereka ke pasaran antarabangsa.
“Kami ingin melihat PKS atau MSME melangkah lebih jauh ke luar sempadan Malaysia untuk menjadi pemain global dan pengeksport secara mampan.
“Cabaran bagi PKS pada masa ini dalam pasaran eksport adalah dua perkara, satu adalah untuk menantarabangsakan mereka di destinasi pasaran yang mereka ingin pergi.
“Kedua ialah mengenai kemampanan terutamanya dalam alam sekitar, sosial dan tadbir urus,” katanya.
Melalui kerjasama ini, program baharu yang dinamakan ‘Transforming SMEs into Exporters (TSMEX)’ akan diperkenalkan untuk menyokong dan menyediakan lebih banyak PKS tempatan mengembangkan perniagaan mereka ke luar negara melalui pengeksportan.
Program dua fasa itu akan melibatkan beberapa siri sesi latihan, bengkel, khidmat nasihat dan aktiviti pegangan tangan.
#Perbadanan Kemajuan Teknologi Malaysia #MTDC #SME Corporation Malaysia #SME Corp #perusahaan kecil dan sederhana #PKS #MoU #eksport #usahawan
;