MTDC beri tumpuan terhadap bidang teknologi 'deep tech' dan bioperubatan
Haikal Raman
Disember 8, 2022 18:28 MYT
Disember 8, 2022 18:28 MYT
KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) kini memberi tumpuan terhadap bidang teknologi ‘deep tech’ dan bioperubatan sebagai usaha memperluaskan lagi pelaburan dalam syarikat teknologi di negara ini.
Ketua Eksekutif MTDC, Datuk Norhalim Yunus berkata, teknologi ‘deep tech’ melibatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang mampan dan berterusan sebelum ia melalui peringkat pengembangan supaya produk dihasilkan mengikut piawaian dan mutu yang diperlukan oleh pengguna antarabangsa.
Menurut beliau, antara fokus bidang teknologi hiliran lain adalah seperti elektrik dan elektronik.
“Syarikat memang merancang untuk terlibat dalam bidang vertikal teknologi elektrik dan elektronik. Bergerak ke hadapan, kita akan terarah kepada reka bentuk cip, malah sebuah syarikat yang MTDC laburkan bakal disenaraikan di Bursa Malaysia pada tahun hadapan.
“Pada suku pertama dan kedua tahun hadapan juga diunjurkan tiga lagi syarikat dijangka turut disenaraikan iaitu TT Vision yang merupakan syarikat terlibat dengan penyelesaian mesin visi dan membangunkan automasi serta robotik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Sambutan Ulang Tahun ke-30 MTDC dengan tema 'Odyssey Beyond the Horizon’ di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Rabu.
Selain TT Vision, masing-masing satu syarikat yang terlibat dalam industri 4.0 dan syarikat perkhidmatan pembuatan kejuruteraan akan turut disenaraikan di Bursa Malaysia.
Dalam pada itu, menurut Norhalim, pihaknya menjangkakan perjalanan teknologi di dalam negara ini akan membangun dengan lebih pesat khususnya dengan semangat juang usahawan-usahawan muda untuk berkecimpung dalam bidang ini.
“Pada malam ini (Rabu), banyak kita anugerahkan pengiktirafan kepada usahawan muda kerana mereka berani mengambil risiko untuk mengkomersialkan teknologi dan sanggup menunggu… kerana pengkomersialan teknologi ini mungkin mengambil masa yang lama.
“Kerana di MTDC, kita bercakap tentang ‘deep tech’ (memerlukan R&D) bermakna kita bukan bercakap tentang platform teknologi memerlukan coding yang mana ia mungkin mengambil masa lebih cepat dan mudah untuk menghasilkannya,” ujarnya.
Semalam MTDC meraikan perjalanan 30 tahunnya dalam membangunkan syarikat berteraskan teknologi dan pengkomersialan teknologi baharu termasuklah antara syarikat terawal yang mendapat pelaburan MTDC iaitu Globetronics Technology Bhd. Pada tahun 1993.
Sempena ulang tahun ke-30 MTDC, syarikat tersebut turut melancarkan buku bertajuk '30 Techno Dream' yang memaparkan 30 buah syarikat dari pelbagai peringkat kemajuan, saiz dan sejarah pelaburan.