MSAM 2023 berjaya tarik lebih 200,000 pengunjung

Bernama
Oktober 8, 2023 14:19 MYT
Acara literasi kewangan tahunan yang dianjurkan oleh PNB itu seiring dengan mandat PNB dalam mempertingkatkan kehidupan rakyat demi kemakmuran negara. - Foto Sinar Harian
KEPALA BATAS: Permodalan Nasional Bhd (PNB) mengakhiri karnival celik kewangan tahunan terbesarnya Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2023 di Setia Fontaines, di Bertam di sini dengan kejayaan yang memberangsangkan apabila mencatatkan lebih daripada 200,000 pengunjung.
Malah MSAM 2023 yang berlangsung selama sembilan hari itu turut menarik perhatian pengunjung muda terutama dalam kalangan murid sekolah untuk mengikuti pelbagai aktiviti di situ.
Pengerusi Kumpulan PNB Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata MSAM 2023 mendapat penglibatan menggalakkan oleh pengunjung di semua platform digital yang diadakan dalam bentuk hibrid, secara fizikal dan maya.
Katanya bertemakan "Bijak Melabur, Santai Berhibur", acara edutainment tersebut bertujuan untuk meningkatkan tahap celik kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia dari semua peringkat umur melalui pelbagai aktiviti.
"Kami di PNB bersyukur kerana MSAM kali ini telah menarik minat pengunjung pelbagai lapisan masyarakat dan umur. Ini merupakan suatu perkembangan positif dan membantu usaha PNB untuk melahirkan lebih ramai generasi muda yang celik pelaburan.
"Selain itu, PNB juga amat menghargai sokongan para pelabur terhadap unit-unit amanah yang diuruskan oleh PNB.
Kepercayaan dan keyakinan orang ramai terhadap PNB yang mengurus dana-danaunit amanah ini amat kami hargai," katanya semasa berucap pada Majlis Penutup MSAM 2023, di Setia Fontaines di sini hari ini.
Majlis penutup itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid dan turut hadir Presiden yang juga Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn serta kepimpinan rakan korporat MSAM 2023.
Sementara itu, Raja Arshad berkata MSAM 2023 menerima pengunjung bukan sahaja dari Bertam dan kawasan sekitarnya malah dari seluruh negara termasuk Kedah dan Selangor.
Katanya karnival itu turut menerapkan elemen STEM iaitu Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik ke dalam gerai pameran, aktiviti dan kandungan, sebagai sebahagian daripada misi PNB untuk memberi inspirasi kepada golongan muda untuk menuntut ilmu dan pendidikan tinggi.
"Kami turut merakamkan penghargaan kepada Rakan Korporat MSAM 2023 yang telah memainkan peranan penting dalam memastikan MSAM terus menjadi antara karnival yang dinanti-nantikan di negara ini," katanya.
Acara literasi kewangan tahunan yang dianjurkan oleh PNB itu juga seiring dengan mandat PNB dalam mempertingkatkan kehidupan rakyat demi kemakmuran negara.
MSAM 2023 menyediakan pelbagai aktiviti pendidikan pelaburan dan pameran yang disertai kira-kira 50 pempamer terdiri daripada syarikat Kumpulan PNB, ejen Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), badan kawal selia dan agensi kerajaan negeri.
Selain itu, pengunjung yang mendaftar dengan PNB Events App berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah menarik bernilai hampir RM1.4 juta antaranya ialah rumah teres setingkat di Setia Fontaines, Pulau Pinang, BYD Atto 3 Standard Range, Toyota Vios 1.5G AT, Perodua Axia 1.0L AV, Yamaha MT25 dan Apple iPhone 14 Pro Max.
Karnival itu juga berlangsung secara hibrid dan pengunjung yang tidak dapat hadir boleh mengikutinya secara langsung di laman media sosial rasmi MSAM iaitu di Facebook dan YouTube.
-- BERNAMA
#Permodalan Nasional Bhd #Minggu Saham Amanah Malaysia #PNB #MSAM 2023
;