MS harap lima lagi penerjun layak ke Olimpik Paris

Bernama
Januari 6, 2024 16:30 MYT
Pandelela dan Nur Dhabitah adalah antara penerjun yang berpotensi menempah slot melalui Kejohanan Akuatik Dunia yang berlangsung di Doha. - Gambar fail/ Stadium Astro
KUALA LUMPUR: Persekutuan Renang Malaysia (MS) menyasarkan sekurang-kurangnya lima lagi atlet meraih tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024 pada Kejohanan Akuatik Dunia yang berlangsung di Doha, Qatar pada 2 hingga 18 Feb depan.
Pengarah Teknikal MS Bryan Nickson Lomas berkata antara penerjun berpotensi menempah slot kali ini termasuk ratu terjun negara Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri.
Selain dua atlet berkenaan, beliau berkata penerjun lain juga turut berpeluang meraih slot ke Sukan Olimpik iaitu Wendy Ng Yan Yee, Ooi Tze Liang, Muhammad Syafiq Puteh, Enrique Maccartney Harold dan Jellson Jabillin.
"Setakat ini, hanya seorang penerjun layak ke Sukan Olimpik 2024, namun sudah pasti kita mahu lebih ramai penerjun layak ke Paris dan kejohanan di Doha merupakan peluang terakhir mereka untuk melakukannya.
"Saya tahu standard penerjun kita, ia bukan sesuatu yang mustahil (lebih ramai penerjun layak) kerana sesetengah mereka berada dalam kelompok 18 mahupun kelompok 10 terbaik dunia," katanya ketika dihubungi Bernama.
Bertrand Rhodict Lises muncul penerjun pertama negara menempah slot secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024, setakat ini.
Atlet kelahiran Sarawak yang bakal membuat penampilan sulung di pentas Olimpik meraih slot selepas mara ke final acara 10 meter (m) platform lelaki individu, sekali gus menempatkan diri dalam syarat kelayakan iaitu kelompok 12 terbaik pada Kejohanan Akuatik Dunia 2023 di Fukuoka, Jepun pada Julai tahun lepas.
Pada kejohanan di Doha bulan depan itu, 12 penerjun terbaik acara individu dan empat gandingan terbaik acara seirama akan layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Sementara itu, Bryan yang menyertai kem terjun negara pada Khamis lepas berkata beliau berpuas hati dengan kesemua penerjun yang memberikan fokus sepanjang kem latihan yang berlangsung selama dua bulan di China.
"Kem latihan akan tamat pada 25 Jan. Kita akan balik ke Malaysia dan berlepas ke Doha pada 27 Jan. Bukan saja untuk meraih tiket ke Olimpik, saya juga mahu para penerjun meningkatkan pungutan mata mereka," katanya.
-- BERNAMA
#olimpik paris #penerjun negara #Pandelela Rinong #Doha
;