MPOB: Minyak sawit dan produk sawit Malaysia bebas dari penebangan hutan
Kenyataan Media
Disember 13, 2022 13:16 MYT
Disember 13, 2022 13:16 MYT
BANGI: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bimbang dengan persetujuan Kesatuan Eropah (EU) untuk mengharamkan import beberapa produk termasuk minyak sawit, daging lembu, kacang soya, kopi, koko, dan kayu-kayan.
Menurut kenyataan yang dikongsi di laman sesawang Suruhanjaya Eropah (EC), EU mencapai persetujuan pada 6 Disember 2022 untuk mengharamkan import beberapa produk termasuk minyak sawit, daging lembu, kacang soya, kopi, koko, dan kayu-kayan yang telah dikenal pasti sebagai "pemacu penebangan hutan” jika pengeluarannya mengakibatkan penebangan hutan dan degradasi hutan selepas 31 Disember 2020.
Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, Malaysia amat komited untuk mengeluarkan minyak sawit mengikut prinsip dan kriteria mampan di bawah Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang telah dilaksanakan secara mandatori mulai 1 Januari 2020.
Baru-baru ini pada awal tahun 2022, Malaysia telah menyemak semula piawaian MSPO agar selari dengan norma antarabangsa, meningkatkan kredibiliti, dan mengembangkan skop yang lebih luas untuk pengiktirafan daripada pasaran global.
Penambahbaikan mengenai perkara yang melibatkan isu sosial dan tenaga kerja, amalan baik, Nilai Pemuliharaan Tinggi (HCV), Penilaian Kesan Sosial (SIA), dan kuantifikasi pelepasan gas rumah hijau (GHG) telah dipertimbangkan dalam semakan standard MSPO tersebut.
Beliau berkata pembangunan industri sawit Malaysia juga dikawal oleh lebih 60 peraturan dan undang-undang, menjadikannya industri paling dikawal selia di Malaysia.
Selain itu, Malaysia juga komited terhadap pemuliharaan hutan dan biodiversiti hutan hujan tropika dan masih mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasannya di bawah litupan hutan seperti yang diikrarkan pada Sidang Kemuncak Bumi Rio pada tahun 1992.
Beliau berkata, peraturan EU hanya menyasarkan penanaman komoditi daripada ekonomi membangun sebagai cabaran utama dalam melindungi alam sekitar global.
“Implikasi bagi industri sawit diandaikan daripada keperluan untuk membuat penilaian wajar yang akan menambah beban pentadbiran dan kos pengeluaran yang lebih tinggi berbanding minyak biji sesawi dan minyak bunga matahari yang dikeluarkan dalam negara mereka.
"Terdapat diskriminasi di sini kerana tanaman lain seperti biji sesawi dan bunga matahari tidak menjadi sasaran. Selain itu, pekebun kecil mungkin bergelut untuk mematuhi dan dikecualikan daripada pasaran EU,” katanya.
Berdasarkan kenyataan yang dikongsi di laman sesawang EC, undang-undang baharu itu akan, setelah diterima pakai dan digunakan, memastikan barangan yang memasuki pasaran EU tidak lagi menyumbang kepada penebangan hutan dan degradasi hutan di EU dan tempat lain di dunia.
Dr Ahmad Parveez berkata, penglibatan industri sawit Malaysia dalam penebangan hutan adalah sangat rendah berikutan pelaksanaan ketat peraturan dan undang-undang di Malaysia.
“Ini perlu diiktiraf oleh EU. Berdasarkan tafsiran, minyak sawit dan produknya yang dihasilkan daripada ladang sawit sedia ada sebelum 1 Januari 2021 dianggap bebas penebangan hutan.
"Malaysia tidak membenarkan penebangan hutan untuk penanaman sawit. EU mesti mengiktiraf produk berdasarkan negara asal dan bukan secara global seperti yang dilakukan untuk biofuel sawit,” katanya.
Menurut beliau, State of the World's Forests 2020 melaporkan bahawa jumlah kemusnahan hutan telah menurun secara global dan ini menunjukkan petanda positif di mana keseimbangan antara pemuliharaan biodiversiti dan penggunaan atau pembangunan hutan mampan memang wujud.
Berdasarkan perspektif mengenai komitmen Malaysia termasuk Pensijilan MSPO, penurunan kemusnahan hutan primer di Malaysia selama empat tahun berturut-turut (dari 2017-2020) mungkin telah menyumbang ke arah aliran menurun ini seperti yang dilaporkan oleh Global Forest Watch, 2021, kata Dr Ahmad Parveez.
“Malaysia juga komited sepenuhnya untuk menjalankan kerjasama dan rundingan dua hala yang membina bagi memastikan tiada diskriminasi dalam pengendalian perdagangan antarabangsa untuk akses pasaran produk Malaysia di pasaran EU,” katanya.
Malaysia mempunyai rangka kerja dasar dan undang-undang untuk memastikan pembangunan mampan mengimbangi perlindungan alam sekitar dan pembangunan sosioekonomi.
Ini terbukti melalui pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif bagi pemuliharaan dan perlindungan hutan dan biodiversiti termasuk, antara lain, inisiatif perhutanan negara iaitu, The Central Forest Spine dan Heart of Borneo, penghutanan semula melalui penanaman semula spesies pokok hutan, penubuhan koridor hidupan liar dan pengurangan pelepasan GHG.
Malaysia telah pun menggubal dasar penting ke arah penanaman sawit mampan pada Mac 2019 yang antara lain mengehadkan jumlah keluasan penanaman sawit kepada 6.5 juta hektar; menghentikan penanaman sawit baharu di kawasan tanah gambut, mengukuhkan peraturan mengenai penanaman sawit sedia ada di tanah gambut dan melarang penukaran kawasan hutan simpanan untuk penanaman sawit.
Kerajaan juga telah menubuhkan Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) untuk menyokong usaha pemuliharaan serta meningkatkan imej minyak sawit sebagai produk yang mampan di mata dunia.
Usaha ini menunjukkan kerajaan komited dan serius terhadap pemeliharaan, pemuliharaan dan perlindungan alam sekitar.
Menurut laman web EC, apabila peraturan baharu berkuat kuasa, semua syarikat yang berkaitan perlu menjalankan penilaian wajar yang ketat jika ingin memasarkan produk mereka di pasaran EU.
Laman sesawang EC juga menyatakan bahawa syarikat pengimport perlu menunjukkan bahawa produk mereka bebas penebangan hutan, dan tertakluk kepada "maklumat geografi yang tepat mengenai tanah ladang" di mana komoditi itu diperolehi.
EU kini perlu menerima pakai peraturan secara rasmi sebelum ia boleh berkuat kuasa dan syarikat diberi tempoh 18 bulan untuk melaksanakan peraturan tersebut.