MPC komited sebarkan inisiatif peningkatan produktiviti, daya saing negara

Nabilah Khaleeda
Mei 16, 2023 11:40 MYT
Kolaborasi tiga helix antara sektor awam-swasta-akademik telah melahirkan Academy in Industry (AiI), yang sebelum ini dikenali sebagai Academy in Factory (AiF).
KUALA LUMPUR: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) terus komited menjalin kolaborasi dengan sektor awam dan swasta bagi memungkinkan kedua-dua pihak bekerjasama dalam melaksanakan program peningkatan produktiviti untuk mencapai sasaran pertumbuhan sebanyak 3.6 peratus.
Menurut Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman, dengan objektif merancakkan pertumbuhan ekonomi negara, MPC memudahkan dan melaksanakan program peningkatan produktiviti melalui pembangunan bakat masa depan, penerapan teknologi dan digitalisasi, serta penyampaian peraturan berkualiti yang menjadi pendorong pertumbuhan produktiviti yang pesat.
Dalam pada itu, Menteri Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz menekankan pentingnya pembangunan bakat yang kompeten untuk memenuhi keperluan pasaran.
Kolaborasi tiga helix antara sektor awam-swasta-akademik telah melahirkan Academy in Industry atau AiI, yang sebelum ini dikenali sebagai Academy in Factory (AiF).
Dengan sasaran melibatkan 100,000 bakat tempatan yang berkemahiran dan memperkasa pendidikan bukan formal, AiI sedang dilaksanakan dengan kerjasama 10,000 rakan strategik.
Usaha untuk mempermudah urusan pelabur dan peniaga juga menjadi keutamaan.
"Penubuhan Unit MyMudah memberi saluran terus bagi peniaga untuk menyuarakan cabaran yang dihadapi dalam pematuhan peraturan. Platform ini dijangka memberi impak dalam penjimatan kos pematuhan di negara sekurang-kurangnya 25 peratus setiap tahun.
"Projek E10: Permit Pembinaan Ekspres menjadi contoh terbaik kejayaan platform MyMudah di mana ujikaji peraturan yang difasilitasi oleh MPC di Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) telah berjaya mengurangkan tempoh keseluruhan pembinaan kilang dari 24 bulan kepada hanya 10 bulan," kata Zafrul dalam ucapan beliau sempena Majlis Jalinan Mesra Aidilfitri bersama Rakan Strategik MPC.
Inisiatif ini kini telah diperluas ke negeri-negeri lain seperti di Johor yang dikenali sebagai Kulai Fastlane dan Fast8 di Pahang, yang bertujuan untuk mempercepatkan proses hingga lapan bulan.
Dengan semua inisiatif dan program peningkatan produktiviti yang dilaksanakan oleh MPC, iklim 'ease of doing business' di negara akan menjadi lebih kondusif, produktif, dan berdaya saing.
Hal ini akan menempatkan Malaysia sebagai ekonomi yang mesra pelaburan dan perniagaan.
#MPC #produktiviti #MITI #Abdul Latif Abu Seman
;