MOSTI lancar makmal alami kenderaan berautonomi MRANTI, selaras dasar NAP 2020

Dagang News
November 9, 2023 17:21 MYT
Chang Lih Kang (tengah) dan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah (tiga dari kiri) pada majlis pelancaran MRANTI AV VL di Taman MRANTI, Kuala Lumpur hari ini. -Dagang News
KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), menerusi Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI), melancarkan makmal alami kenderaan berautonomi MRANTI (MRANTI AV VL) di Taman MRANTI.
MRANTI AV XL merupakan sebuah pusat kecemerlangan kenderaan berautonomi (AV) dan Next-Generation Vehicles (NxGVs) dengan tujuan memacu pembangunan, pengujian dan pengkomersialan inovasi teknologi AV.
Konsep makmal berkenaan berasaskan hasil perbincangan bersama pihak industri, agensi kerajaan dan pihak-pihak berkepentingan yang cenderung kepada reka bentuk berpaksikan manusia bagi penciptaan bersama.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata usaha tersebut menyokong Dasar Automotif Nasional (NAP 2020) yang merangkumi objektif seperti pewujudan tempat ujian AV dan mempromosi NxGVs.
“Selain itu, ia juga merupakan inisiatif yang dapat meningkatkan kecekapan dan pengurangan gas karbon pada masa hadapan. MRANTI AV XL merupakan tempat pengujian dan pengesahan teknologi AV yang paling besar di negara ini,” ujar beliau ketika merasmikan makmal tersebut di sini, hari ini.
Menurut Chang, MRANTI AV XL merangkumi laluan ujian sepanjang 12 kilometer disambung dengan tempat letak kereta bertingkat tertutup, kembar digital (penggabungan ujian maya dan penggunaan fizikal), liputan rangkaian 5G dan infrastruktur untuk AV berkomunikasi dengan pantas.
Tambahnya, usaha juga sedang dijalankan untuk MRANTI menawarkan AV simulator dengan MRANTI selaku AV-as-a-Service Certification yang bertujuan untuk menjadi pusat rujukan bagi penggunaan dan pengaplikasian AV di jalan raya Malaysia, tertakluk kepada kelulusan pihak berkepentingan yang berkaitan.
“Visi utama MRANTI AV XL adalah menyediakan satu pusat sehenti kepada inovator, korporat, penyelidik dan syarikat dalam bidang AV untuk meneroka, menguji, mengesahkan dan mengembangkan rumusan teknologi AV dalam persekitaran terkawal dan sebenar dengan pantas,” katanya.
Chang menjelaskan bahawa AV merujuk kepada mod pengangkutan yang boleh beroperasi tanpa kawalan manusia seperti yang sudah digunakan tanpa disedari oleh sesetengah pihak iaitu transit aliran massa (MRT) dan transit aliran ringan ringan (LRT)
“AV telah digunakan di seluruh dunia, termasuk bas untuk Sukan Olimpik Tokyo dan hari ini, robotaxis di jalanan California, Amerika Syarikat; Shenzhen, China dan seluruh Jerman yang dengan cepat mendapat penerimaan orang ramai,” katanya.
Bersempena pelancaran MRANTI AV XL, lapan projek penyelidikan AV telah diumumkan bersama rakan strategik MRANTI iaitu Universiti Nottingham Malaysia, NanoMalaysia dan Institut Penyelidikan Tenaga di Universiti Teknologi Nanyang Singapura yang menguruskan Pusat Kecemerlangan Pengujian & Penyelidikan AV (CETRAN). - DagangNews.com
#MOSTI #MRANTI #makmal alami kenderaan berautonomi
;