Moratorium: Mansuh faedah terakru beri impak jangka masa panjang bank, pemulihan ekonomi

Fareez Azman
Ogos 13, 2021 15:21 MYT
Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata pemansuhan faedah terakru pinjaman moratorium hanya akan memberi kesan jangka masa panjang terhadap bank, pemulihan ekonomi negara serta simpinan awam. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pemansuhan faedah terakru dalam pinjaman moratorium hanya akan memberi impak jangka masa panjang kepada ekonomi negara, kata Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.
Ujar beliau, faedah terakru bank-bank di negara ini menerusi moratorium hampir RM1.4 trilion iaitu bersamaan 73 peratus daripada sistem pinjaman bank tersedia.
"Faedah terakru dalam pinjaman moratorium adalah untuk menampung kos pinjaman bank. Ini termasuk pembayaran faedah deposit daripada bank serta pinjaman lain seperti bon yang dibuat oleh pihak bank untuk memberi pinjaman kepada peminjam.
"Kemudiannya, bank kenakan faedah terhadap pinjaman dengan kadar normal yang dipersetujui oleh peminjam ketika membuat pinjamam terbabit.
"Jadi untuk memansuhkan faedah terakru kepada semua pinjaman individu dan perniagaan dibawah moraorium akan memberi kesan signifikan jangka masa panjang. Perspektif yang mudah, pendapatan daripada faedah ini lebih kurang 80 peratus daripada hasil bank dan jumlah kesemua pinjaman ini hampir RM 1.4 trillion bersamaan 73 peratus daripada sistem pinjaman bank," jelasnya.
Tambah Nor Shamsiah lagi, jika dimansuhkan faedah terakur itu, akan membawa keadaan kritikal terhadap peranan bank kepada ekonomi negara.
Malah pihak bank ujarnya lagi, akan menarik semula pinjaman semasa untuk mengurangkan kerugian.
"Jika bank memansuhkan faedah terakru, ini akan memberi keadaan kritikal terhadap peranan bank kepada ekonomi negara. Pertama, pihak bank akan menarik semula pinjaman semasa untuk penampan terhadap kerugian kredit yang lebih tinggi.
"Kedua, bank memiliki penilaian kredit yang boleh menurun dan melemahkan keupayaan menjana pendapatan pada masa depan.
"Ini juga akan mengakibatkan lebih mahal bagi bank untuk meningkatkan modal mereka dan kos yang lebih tinggi ini akan kemudiannya terpaksa ditanggung kepada peminjam," kata Gabenor Bank Negara Malaysia itu lagi.
Malah, keyakinan terhadap bank juga akan terjejas sekali gus mencetuskan memberi impak kepada keselamatan simpanan pendeposit dan simpanan persaraan.
Itu termasuk, tidak akan dapat memberikan dividen kepada pelabur serta institusi yang menyimpan simpanan awam seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Tabung Haji.
"Ini juga akan mengakibatkan pulangan yang rendah kepada pendeposit dan simpanan persaraan. Jadi kalau kita lihat semua ini, ia akan memberi kesan signifikan kepada pemulihan ekonomi serta sistem kewangan negara dalam jangka masa panjang," jelas Nor Shamsiah lagi.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Pengeluaran Data KDNK Suku Kedua tahun 2021 secara maya pada Jumaat.
#Bank Negara Malaysia #ekonomi #KDNK #KWSP #EPF #Malaysia #Moratorium #PNB #Tabung Haji #LTAT #Gabenor Bank Negara Malaysia
;