Moratorium berakhir: AmBank tawar bantuan pembayaran balik pada hujung minggu
Bernama
September 18, 2020 14:14 MYT
September 18, 2020 14:14 MYT
AmBank akan membuka lebih 30 cawangan terpilih seluruh negara pada dua hujung minggu berturut-turut bagi membantu pelanggannya yang menghadapi masalah kekangan kewangan untuk memohon bantuan pembayaran balik selepas berakhirnya moratorium.
Dalam satu kenyataan hari ini, ia berkata memandangkan moratorium akan berakhir tidak lama lagi dan peminjam akan mula membuat pembayaran mulai Oktober 2020, Ambank menawarkan bantuan pembayaran balik pada hujung minggu melalui Ambank Assist.
"Cawangan-cawangan terpilih akan beroperasi mulai 10 pagi hingga 3 petang dalam dua kategori: iaitu cawangan dengan hujung minggu Ahad ialah pada 19-20 Sept dan 26-27 Sept dan cawangan dengan hujung minggu Jumaat pada 18-19 Sept dan 25-26 Sept," tambahnya.
Ambank berkata pelanggan yang ingin mendapatkan bantuan dinasihatkan membawa slip gaji terbaharu, atau apa-apa dokumen sokongan seperti surat pemberhentian kerja/pemotongan gaji/cuti tanpa gaji atau surat sumpah.
Untuk senarai penuh cawangan beroperasi pada hujung minggu, boleh lawati https://www.ambank.com.my/eng/announcements dan untuk maklumat lanjut mengenai bantuan bayaran balik, boleh layari ambank.com.my/RA.
--BERNAMA