Moody's unjur pertumbuhan KDNK sebenar Malaysia naik 4.5 peratus tahun ini

Bernama
Mac 7, 2024 17:05 MYT
Peningkatan itu mencerminkan permintaan domestik yang berdaya tahan dalam menghadapi persekitaran global yang mencabar dan risiko terhadap sektor pertanian serta inflasi akibat El Nino. -Gambar fail/EPA
KUALA LUMPUR: Agensi penarafan kredit Moody's Ratings menjangkakan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebenar Malaysia meningkat kepada 4.5 peratus pada 2024 berbanding 3.7 peratus pada 2023.
Peningkatan itu mencerminkan permintaan domestik yang berdaya tahan dalam menghadapi persekitaran global yang mencabar dan risiko terhadap sektor pertanian serta inflasi akibat El Nino, katanya.
"Keadaan pasaran buruh yang menggalakkan akan menyokong penggunaan isi rumah, manakala dasar kerajaan seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 akan menyokong pelaburan swasta dan awam serta aliran pelaburan yang berkaitan dengan peralihan rantaian bekalan serantau," katanya dalam laporan Tinjauan Sistem Perbankan yang dikeluarkan agensi penarafan itu hari ini.
Laporan itu turut menyatakan pertumbuhan global yang lemah akan mengehadkan sumbangan eksport bersih kepada KDNK, meskipun ia menjangkakan pemulihan kitaran dalam sektor elektronik dan semikonduktor.
Pasaran hartanah pula kekal lemah, dengan bilangan unit rumah yang tidak terjual masih tinggi walaupun ia berkurangan secara beransur-ansur, manakala isu lebihan bekalan terus menekan kadar sewa dan penghunian ruang pejabat dan runcit, katanya.
"Kami menjangkakan bank pusat mengekalkan dasar monetari semasa pada paras neutral pada 2024, yang tidak akan mengekang permintaan kredit.
"Kadar pertumbuhan kredit secara keseluruhan adalah pada 5.5 peratus, secara amnya tidak berubah daripada tahun sebelumnya," katanya.
Mengenai tinjauan sistem perbankan, Moody's menjangkakan ia akan kekal stabil, disokong oleh pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi dan permodalan bank yang kukuh.
Ia berkata permintaan domestik yang kukuh akan terus memacu pertumbuhan dalam persekitaran sektor pekerjaan yang sihat.
"Kualiti aset dan keuntungan bank-bank Malaysia kekal stabil, dan kami menjangkakan permodalan akan kekal kukuh," kata agensi penarafan itu.
Ia turut mengunjurkan pertumbuhan pinjaman secara umumnya sejajar dengan pertumbuhan deposit.
Moody's menjangkakan margin faedah bersih yang stabil dan kos kredit yang sedikit lebih tinggi akan memastikan keuntungan bank-bank Malaysia sebahagian besarnya stabil pada 2024.
"Kami menjangkakan kos kredit meningkat pada 2024 kerana peruntukan yang rendah pada 2023 sebahagiannya disokong oleh penggunaan rizab kredit sedia ada," katanya.
-- BERNAMA
#Moody's #KDNK #permintaan domestik #Inflasi
;