Moody's sahkan penarafan HSBC Bank Malaysia, unjuran negatif
Bernama
Disember 18, 2019 19:42 MYT
Disember 18, 2019 19:42 MYT
Moody's Investors Service (Moody's) hari ini mengesahkan penarafan deposit mata wang tempatan jangka panjang HSBC Bank Malaysia Bhd pada A1 dan bertindak menyemak semula unjuran penarafan itu kepada negatif daripada stabil.
Dalam satu kenyataan, Moody's berkata perubahan unjuran penarafan HSBC Malaysia itu menyusuli penarafan ke atas induk bank tersebut, The Hongkong and Shanghai Banking Corp Ltd (HSBC HK, Aa2 negatif, a1), pada 17 Disember.
"Perubahan unjuran kepada negatif untuk HSBC HK jelas memaparkan ketegangan sosial di Hong Kong (negatif Aa2) dan peningkatan pertikaian dagangan antara Amerika Syarikat (Aaa stabil) dan China (A1 stabil) yang akan memberi kesan negatif terhadap persekitaran operasi bank tersebut," katanya.
Pada masa sama, Moody's turut mengesahkan penarafan deposit mata wang asing jangka panjang HSBC Malaysia pada A3, penilaian kredit asas (BCA) pada baa1 dan Pelarasan BCA pada a1.
Pengesahan BCA baa1 HSBC Malaysia memaparkan kelebihan daya saing bank tersebut dari segi kewangan perdagangan dan transaksi perbankan selain kekukuhan dalam perbankan runcit - khususnya segmen massa.
"Sebarang peningkatan penarafan kredit itu dijangka tidak berlaku memandangkan penarafan deposit jangka panjang HSBC Malaysia sudah pun di paras menyamai had deposit negara. Bagaimanapun, usaha mengekalkan penambahbaikan dalam kualiti aset bank itu akan memberi tekanan terhadap BCA bank.
"Semakan menurunkan BCA HSBC HK akan membawa kepada penurunan penarafan deposit mata wang tempatan jangka panjang. Penyusutan kualiti aset atau aspek permodalan bank itu akan turut memberi tekanan kepada BCA ," katanya.
-- BERNAMA