Moody's sahkan penarafan A2 Petronas dengan prospek stabil
Bernama
Mei 26, 2022 08:30 MYT
Mei 26, 2022 08:30 MYT
KUALA LUMPUR: Moody's Investors Service mengesahkan penarafan A2 ke atas terbitan mata wang tempatan dan mata wang asing tidak bercagar senior Petroliam Nasional Bhd (Petronas).
Moody's turut mengesahkan Penilaian Kredit Garis Asas (BCA) Petronas pada a2; nota tidak bercagar senior dengan penarafan A2 yang diterbitkan Petronas Capital Ltd dan dijamin oleh Petronas; penarafan A2 kepada nota tidak bercagar terbitan Petronas Energy Canada Ltd (PECL) dan dijamin oleh Petronas; dan penarafan tidak bercagar senior (P) A2 bagi program nota jangka sederhana $15 bilion (dolar Singapura $1=RM3.19) yang ditubuhkan oleh Petronas Capital Ltd dan PECL, dan dijamin oleh Petronas.
Unjuran penarafan itu kekal stabil dengan penarafan A2 Petronas mencerminkan rizab hidrokarbon berskala besar dan pengurusan kewangan yang berhemat.
"Pengesahan penarafan itu mencerminkan jangkaan kami bahawa syarikat tersebut akan mengekalkan metrik kredit yang kukuh dan mudah tunai yang cemerlang melalui kitaran harga minyak," menurut penganalisis Moody's Hui Ting Sim dalam kenyataan pada Rabu.
Menurut kenyataan itu, unjuran stabil tersebut adalah seiring dengan prospek stabil ke atas penarafan Malaysia.
Unjuran stabil Petronas adalah disokong oleh baki tunai yang besar syarikat itu yang membolehkan profil kreditnya bertahan ketika meningkatnya ketidaktentuan harga minyak atau kenaikan aliran keluar tunai berikutan perbelanjaan modal yang lebih tinggi atau bayaran kepada kerajaan dalam bentuk dividen, royalti dan cukai, katanya.
Moody's menjangka metrik kredit Petronas akan kekal kukuh dengan penarafan A2 tersebut di bawah andaian harga Brent jangka sederhana agensi itu iaitu AS$50-$70 setong.
Syarikat itu akan terus mengekalkan kedudukan tunai bersih dan menjana pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak RM90 bilion hingga RM110 bilion.
-- BERNAMA