Moody's: Malaysia kekalkan pengukuhan fiskal dalam Bajet 2016

Bernama
Oktober 27, 2015 08:05 MYT
Moody's Investors Service turut mengesahkan penarafan bon kerajaan dan penerbit Kerajaan Malaysia pada A3 dengan unjuran positif. - Gambar Fail
Bajet 2016 yang dibentangkan Malaysia mengekalkan aliran pengukuhan fiskal kredit positif, dan pada masa yang sama mengurangkan lagi pergantungan kerajaan ke atas perolehan hasil minyak, menurut Moody's Investors Service.
Bajet itu, yang menyasarkan defisit bersamaan 3.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) boleh menggalakkan penggunaan secara sederhana dengan menangani pendapatan isi rumah yang rendah terhadap kos sara hidup yang lebih tinggi, menurut Moody's dalam laporan yang baru dikeluarkan pada Isnin.
Agensi penarafan itu mengesahkan penarafan bon kerajaan dan penerbit Kerajaan Malaysia pada A3 dengan unjuran positif.
Moody's turut mempertimbangkan jangkaan makroekonomi dalam bajet tersebut adalah realistik.
"Hasil bajet bergantung kepada pertumbuhan ekonomi sebenar empat hingga lima peratus pada 2016, seiring dengan jangkaan kami, 4.5 peratus pertumbuhan KDNK pada tahun itu," kata agensi itu.
Bajet itu menjangkakan harga minyak mentah akan kekal rendah pada US$48 setong pada 2016, di bawah andaian Moody's iaitu pada US$53.
Bagaimanapun, bajet itu, tidak banyak melaksanakan perubahan berstruktur yang boleh mewujudkan sokongan yang lebih lama untuk kewangan kerajaan dan ekonomi, menurut Moody's dalam laporannya, "Bajet 2016 Kekalkan Pengukuhan Fiskal Kredit Positif; Pembaharuan, Sokongan Ekonomi adalah Terhad".
Moody's yakin keseluruhan bajet itu menunjukkan komitmen kerajaan untuk mengawal defisit fiskalnya, meskipun harga komoditi rendah berterusan, pertumbuhan ekonomi yang perlahan dan kemelut politik.
Moody's berkata kadar pengukuhan fiskal yang agak perlahan telah menyebabkan timbul beberapa keraguan ke atas keupayaan kerajaan untuk mencapai sasaran belanjawan seimbang menjelang 2020, yang memerlukan pengurangan yang lebih ketara dalam tahun-tahun berikutnya.
"Namun, peningkatan pergantungan kepada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berbanding pendapatan berkaitan minyak bagi mendorong pertumbuhan pendapatan akan meningkatkan kemampanan kerajaan dalam mengecilkan fiskal," menurut agensi itu.
"Bajet ini memberikan beberapa sokongan terhad kepada pertumbuhan ekonomi," menurut agensi tersebut.
Langkah yang digariskan dalam Bajet 2016, kata Moody's, sewajarnya menggalakkan penggunaan swasta secara sederhana, dan perbelanjaan pembangunan awam boleh menarik dana dari sektor swasta tempatan serta meningkatkan pelaburan langsung asing.
"Namun, walaupun pertumbuhan permintaan domestik sewajarnya berdaya tahan pada 2016, sokongan untuk hasil ekonomi dijangka tiada sehingga ketidaktentuan dalam politik tempatan berakhir," kata agensi berkenaan.
##Bajet2016 #Bajet 2016 #fiskal kredit #KDNK #Moody's
;