Moody's kekalkan prospek stabil pada sistem perbankan APAC, termasuk Malaysia
Bernama
April 11, 2022 15:25 MYT
April 11, 2022 15:25 MYT
KUALA LUMPUR: Moody's Investors Service telah mengekalkan prospek stabil terhadap 13 sistem perbankan Asia-Pasifik (APAC), termasuk Malaysia.
Lain-lain ialah Australia, China, Hong Kong, India, Indonesia, Korea Selatan, New Zealand, Pakistan, Filipina, Singapura, Taiwan dan Thailand.
Agensi penarafan kredit itu turut menyemak semula ke atas prospek sistem perbankan Jepun dan Bangladesh kepada stabil daripada negatif.
"Prospek stabil ini disokong oleh pemulihan makroekonomi dan keadaan operasi dalam ekonomi APAC, kualiti aset, modal dan kecairan bank yang sebahagian besarnya stabil dan peningkatan dalam keuntungan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Moody's masih mengekalkan prospek positif terhadap sistem perbankan Vietnam.
Ia berkata tinjauan ke atas sistem perbankan APAC mungkin positif jika bukan kerana konflik ketenteraan di Eropah Timur, yang merupakan risiko utama untuk prospek tersebut.
"Potensi peningkatan lanjut konflik ketenteraan dan/atau sekatan tambahan atau sekatan ke atas eksport Rusia akan memacu kenaikan harga komoditi dan inflasi, kredit-negatif untuk pertumbuhan ekonomi sebenar, pasaran kewangan, perniagaan dan keyakinan pengguna," katanya.
Melangkah ke hadapan, Moody's menjangkakan keuntungan bank-bank APAC secara amnya meningkat tahun ini kerana margin faedah bersih yang lebih luas berlatarbelakangkan kadar dasar yang lebih tinggi.
Ia berkata peruntukan kerugian pinjaman sebagai sebahagian daripada pinjaman kasar, mungkin akan berkurangan secara sederhana di beberapa pasaran APAC.
"Bagaimanapun, bank akan keberatan untuk mengeluarkan sejumlah besar rizab am dalam keadaan ketidaktentuan makroekonomi," katanya.
Mengenai pinjaman tidak berbayar (NPL), ia berkata nisbah NPL bank-bank APAC akan meningkat tetapi hanya sederhana dalam beberapa pasaran di tengah-tengah pemulihan makroekonomi, yang konsisten dengan pandangan kredit yang stabil mengenai risiko aset terutamanya apabila mempertimbangkan faedah kredit rizab pinjaman-kerugian daripada bank yang besar.
Moody's menjangkakan bank APAC akan mengekalkan pendanaan dan kecairan yang kukuh dan stabil, berikutan penambahbaikan pada tempoh dua tahun lalu dalam keadaan pembiayaan yang mendapat manfaat daripada dasar monetari yang lebih mudah dan pertumbuhan kredit yang perlahan.
"Permodalan teras mereka akan kekal stabil, walaupun penurunan sederhana akan berlaku dalam beberapa sistem kerana bank akan mencatat pertumbuhan kredit yang lebih tinggi dan meneruskan strategi pengoptimuman modal.
"Selain itu, sokongan kerajaan kepada bank akan kekal kukuh dalam kebanyakan sistem perbankan APAC, yang menyokong penarafan kredit bank," katanya.
-- BERNAMA