Moody's Analytics jangka KDNK global berkembang 2.8 peratus pada 2022
Bernama
Jun 20, 2022 14:44 MYT
Jun 20, 2022 14:44 MYT
KUALA LUMPUR: Moody's Analytics menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global sebenar akan perlahan pada 2022, apabila sokongan dasar serta permintaan terpendam mula mereda, inflasi bekalan kekal tinggi dan kadar keuntungan pula semakin terhad.
Penyedia alat analisis dan maklumat kewangan itu berkata, pertumbuhan KDNK global diunjurkan sebanyak 2.8 peratus pada 2022 dan 3.1 peratus menjelang 2023, selepas memuncak pada 5.6 peratus semasa 2021.
"Asia dan Amerika Syarikat dijangka menyokong pertumbuhan global dengan KDNK masing-masing menokok 4.1 peratus serta 2.7 peratus pada 2022.
"China dan India akan kekal dalam pengembangan, walaupun pertumbuhan akan menyederhana masing-masing kepada 4.5 peratus serta 7.4 peratus pada 2022 sebelum meningkat menjelang 2023," katanya dalam ulasan "Global Outlook: The Big Challenge" hari ini.
Pertumbuhan KDNK zon Euro diunjurkan sebanyak 2.7 peratus pada 2022 dan 2.1 peratus menjelang tahun depan, manakala pertumbuhan Jepun adalah 1.6 peratus pada 2022 dan 2.4 peratus pada 2023.
Moody's berkata ketidaktentuan dalam pasaran komoditi global dan persekitaran perdagangan yang semakin mengelak risiko berkemungkinan mengekalkan inflasi jauh di atas tahap keselesaan sepanjang tahun ini.
Ia menjangkakan bank-bank pusat akan terus mengurangkan balik rangsangan yang didorong oleh pandemik dan mula mengetatkan kadar secara agresif pada bulan-bulan yang akan datang.
"Ini menimbulkan pelbagai risiko, dengan kebanyakan inflasi semasa adalah diimport atau didorong oleh bekalan, keberkesanan dasar monetari sebagai instrumen untuk menjinakkan tekanan harga akan menjadi lemah.
"Bukan sahaja pengguna akan menghadapi kuasa beli sebenar yang tidak bermaya tetapi kos pinjaman yang lebih tinggi dan keadaan pembiayaan yang lebih ketat boleh membebankan isi rumah yang berleveraj, menjejaskan keyakinan perniagaan serta keputusan pelaburan," katanya.
Secara keseluruhan, tindak balas dasar yang tidak diingini ini tetapi wajar dalam menghadapi inflasi semasa tidak hanya akan menyaksikan bank pusat mungkin mengatasi kadar neutral mereka dalam jangka pendek, pertumbuhan yang perlahan, ia juga boleh meningkatkan risiko kemelesetan bagi sesetengah negara dan meluaskan jurang pendapatan serta kebajikan pada separuh kedua 2022, kata Moody's lagi.
-- BERNAMA