Monopoli pasaran pemangkin harga makanan naik - Pakar

Nuradilla Noorazam
September 23, 2016 19:13 MYT
Monopoli menjadi ruang terbaik kepada pengeluar untuk mengambil kesempatan ke atas pengguna. - Gambar hiasan
Monopoli menjadi ruang terbaik kepada pengeluar untuk mengambil kesempatan ke atas pengguna. Harga produk dinaikkan secara semborono sehingga ada yang mencecah tahap tidak masuk akal.
Menurut Ketua Laboratori Institut Pertanian dan Polisi Makanan Universiti Putra Malaysia, Dr Mohd Yusof Saari, kelemahan struktur pasaran ini membantutkan kesan polisi yang dibuat kerajaan bagi membantu rakyat.
"Apa yang berlaku sekarang ni untuk makanan dan juga keseluruhan barang lain adalah disebabkan kelemahan struktur ekonomi kita, spesifiknya pasaran kita.
"Bagi saya, bagi pakar ekonomi, kita lihat kerajaan tidak perlu polisi pengurangan subsidi, ambil sana masuk dekat sini, dia ambil poket sini keluar poket sana, kadang-kadang tiris sana, tiris sini. Kesan dari pengurangan subsidi boleh jadi lebih buruk selagi kita tidak selesaikan masalah struktur pasaran.
"Contohnya, makanan di Malaysia, kebanyakan perusahaaan kecil dan sederhana, seperti restoran dan gerai-gerai, mereka membeli dari pengeluar yang sama.
"Dalam pasaran, hanya ada beberapa syarikat besar sahaja yang mempunyai monopoli barang-barang utama seperti tepung, beras dan sebagainya.
"Disebabkan kebergantungan perusahaan ini kepada beberapa syarikat besar tersebut, mereka terdedah kepada kenaikkan harga dan bekalan yang tidak menentu," katanya.
Jelas Yusof, kerajaan hanya perlu membuka pasaran bagi membenarkan lebih banyak perusahaan untuk mengimport barangan untuk menyelesaikan kemelut ini.
Beliau berkata ramai yang tidak tahu bahawa kenaikkan harga barang yang diakibatkan oleh pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebenarnya berpunca dari masalah struktur pasaran.
"Monopoli membenarkan penguasaan pasaran menggunakan tekanan harga kepada perusahaan kecil dan sederhana. Kelemahan struktur pasaran ini juga menyebabkan polisi cukai yang baik seperti GST tidak dapat berfungsi sepenuh.
"Modal analisis GST menunjukkan bahawa harga barang akan jatuh apabila ia dilaksanakan tetapi perkara itu tidak berlaku disebabkan struktur pasaran yang dimonopoli sesetengah pihak," katanya.
Walaubagaimanapun masih belum terlambat untuk kerajaan melakukan sesuatu bagi menangani ketidaktentuan harga dan bekalan makanan dalam negara.
Menurut Yusof, ketidaktentuan harga barang dan makanan yang dirasai pasaran sekarang tidak selaras dengan unjuran Dana Kewangan Antarabangsa yang meramalkan harga makanan akan turun pada 2016 kesan penurunan harga minyak mentah.
"Harga minyak dunia turun, Petroleum turun juga tapi harga makanan tidak turun. Sepatutnya, apabila harga minyak mentah turun, harga makanan akan turun juga kerana makanan adalah produk yang menggunakan banyak tenaga untuk dihasilkan jadi apabila tenaga menjadi murah, harga kos pembuatan makanan akan turun sekali. Begitu juga dengan kos eletrik, pengangkutan dan sebagainya yang menggunakan banyak tenaga yang terhasil dari produk minyak mentah ini.
"Jadi mengapa ia tidak terjadi di Malaysia? Berbalik kepada struktur pasaran, di negara maju pasaran terbuka dan sangat kompetetif, maka pembekal-pembekal bersaing sesama sendiri dan harga barang akan turun sendiri mengikut persaingan tersebut," katanya.
Tambah beliau, jika Malaysia benar-benar serius dalam membuka pasaran, kerajaan harus mengambil langkah yang lebih serius dan tidak mewujudkan diskriminasi dalam pasaran.
"Kerajaan mewujudkan Akta Persaingan pada 2010 dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia pada 2011 untuk menggalakkan lebih banyak persaingan dalam pasaran. Namun ia tidak membantu dalam menyelesaikan masalah ini. Selain dari faktor pengutatkuasaan, terdapat klaus-klaus tertentu di dalam akta yang terkeluar dari persaingan seperti telekomunikasi, eletrik dan sebagainya.
"Persoalannya, mengapa industri-industri ini dikeluarkan dari akta persaingan? Ini jelas tidak seragam. Disebabkan perkara ini, masyarakat awam akan terus terdedah kepada risiko kenaikkan harga barang yang tidak masuk akal," katanya.
#Dr Mohd Yusof Saari #kenaikan harga makanan #Monopoli pasaran #pakar
;