Momentum pemulihan Malaysia mungkin terjejas berikutan lonjakan kes COVID-19

Bernama
Ogos 27, 2021 20:01 MYT
Mohd Uzir berkata KDNK Malaysia melonjak 16.1 peratus setelah mengalami penguncupan bagi empat suku berturut-turut. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Momentum pemulihan ekonomi Malaysia dijangka terjejas berikutan lonjakan kes COVID-19 harian yang merencatkan prospek prestasi kukuh pada suku ketiga 2021, meskipun Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan masih berterusan, kata Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin.
Beliau berkata berdasarkan senario tersebut, Indeks Pelopor (IP) mencatatkan pertumbuhan tahunan yang lebih perlahan 0.5 peratus pada Jun 2021, namun IP susut 2.8 peratus bulan ke bulan.
"Oleh itu, prospek ekonomi Malaysia yang lebih mencabar telah diunjurkan bagi bulan akan datang.
"Sejajar dengan itu, Bank Negara Malaysia (BNM) telah menyemak unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 3.0 hingga 4.0 peratus, daripada unjuran sebelumnya di antara 6.0 dengan 7.5 peratus bagi 2021," katanya dalam kenyataan mengenai Sorotan Statistik Ekonomi Malaysia (MESR) Siri 8/2021 yang dikeluarkan pada Jumaat.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini menerbitkan MESR Siri 8/2021 dengan analisis terperinci prestasi ekonomi berdasarkan statistik terkini yang dikeluarkannya.
Laporan tersebut turut dilengkapkan dengan artikel khas bertajuk 'Impak COVID-19 terhadap industri Minyak dan Gas di Malaysia' yang memberikan gambaran mengenai kesan pandemik terhadap industri berkenaan di Malaysia meliputi aspek pengeluaran, eksport, tenaga buruh dan inisiatif serta rantaian nilai industri yang terlibat.
Mohd Uzir berkata selari dengan kemajuan ketara yang dicapai di seluruh dunia dalam memerangi penularan pandemik COVID-19, kebanyakan negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, China, Taiwan, Korea Selatan serta rantau ASEAN telah menunjukkan tanda-tanda pengembangan ekonomi.
Beliau berkata bagi Malaysia, KDNK melonjak 16.1 peratus setelah mengalami penguncupan bagi empat suku berturut-turut.
"Dari segi penawaran, ekonomi disokong terutama oleh pertumbuhan berterusan dalam sektor pembuatan yang meningkat sebanyak 26.6 peratus selain pemulihan sektor perkhidmatan pada 13.4 peratus berbanding penurunan 2.3 peratus pada suku sebelumnya.
"Namun, berdasarkan pelarasan bermusim suku ke suku, KDNK menguncup 2.0 peratus berbanding dengan pertumbuhan 2.7 peratus pada suku sebelumnya. Selanjutnya bagi tempoh separuh pertama 2021, ekonomi tumbuh 7.1 peratus berbanding dengan penurunan 8.4 peratus pada tempoh yang sama 2020," katanya.
DOSM menjelaskan imbangan akaun semasa (CAB) Malaysia mencatatkan lebihan RM14.4 bilion, melonjak 17.2 peratus daripada suku pertama 2021.
Lebihan ini sebahagian besarnya didorong oleh prestasi barangan yang lebih baik serta defisit yang lebih rendah dalam pendapatan sekunder.
Akaun barangan mencatatkan lebihan lebih tinggi iaitu RM40.7 bilion susulan eksport dan import barangan menunjukkan prestasi memberangsangkan pada suku ini, menurutnya.
"Eksport meningkat sebanyak RM18.5 bilion kepada RM244.0 bilion sementara import bertambah sebanyak RM14.5 bilion kepada RM203.4 bilion," jelasnya.
Dari segi pelaburan, pelaburan langsung asing (FDI) terus mencatatkan aliran masuk sebanyak RM8.2 bilion manakala pelaburan langsung di luar negara (DIA) oleh pelabur Malaysia merekodkan aliran keluar bersih RM4.0 bilion pada suku ini.
Menurut DOSM, perdagangan Malaysia melonjak kepada 39.0 peratus tahun ke tahun, terutama disumbangkan oleh kesan asas yang rendah dan permintaan luaran yang lebih baik manakala lebihan dagangan meningkat kepada RM56.4 bilion, 122.7 peratus lebih tinggi berbanding suku kedua 2020.
Mengenai senario buruh, Mohd Uzir berkata pada tempoh yang sama, jumlah penduduk bekerja meningkat 2.2 peratus tahun ke tahun kepada 15.21 juta orang berbanding suku yang sama 2020 (14.88 juta).
"Trend meningkat juga diperhatikan pada nisbah guna tenaga kepada penduduk yang meningkat 0.4 mata peratus kepada 65.0 peratus. Sementara itu, kadar pengangguran turun 0.3 mata peratus untuk merekodkan 4.8 peratus," katanya.
Berdasarkan prestasi bulanan pula, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) pada Jun 2021 meningkat 1.4 peratus tahun ke tahun disumbangkan oleh kenaikan 10.3 peratus dalam indeks perlombongan manakala indeks pembuatan serta elektrik masing-masing turun 0.2 peratus dan 4.8 peratus.
DOSM menjelaskan nilai jualan sektor pembuatan Malaysia pada Jun 2021 berjumlah RM124.4 bilion, meningkat pada kadar perlahan 6.5 peratus (Mei 2021: 37.2 peratus) didorong oleh pertumbuhan nilai jualan produk petroleum, kimia, getah dan plastik (41.6 peratus).
Indeks Harga Pengguna (IHP) pula meningkat 3.4 peratus kepada 123.2 pada Jun 2021.
Penyumbang utamanya ialah kumpulan pengangkutan yang meningkat 16.6 peratus, dan diikuti oleh perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (3.2 peratus).
Indeks Harga Pengeluar (IHPR) pengeluaran tempatan pada Jun 2021 pula meningkat 11.5 peratus, menunjukkan indeks berada pada jajaran positif bagi lima bulan berturut-turut.
Peningkatan ini disumbangkan oleh lonjakan ketara dalam indeks perlombongan (64.4 peratus) dan diikuti oleh indeks pertanian, perhutanan dan perikanan (29.8 peratus), jelas DOSM.
-- BERNAMA
#ekonomi malaysia #COVID-19 #momotentum #Ketua Perangkawan
;