Mokhzani letak jawatan pengerusi SIC

Bernama
Oktober 13, 2016 12:50 MYT
Tan Sri Mokhzani Tun Dr Mahathir telah meletakkan jawatan sebagai ahli Lembaga Pengarah SIC berkuat kuasa serta-merta. -Gambar fail
Pengerusi Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Tan Sri Mokhzani Tun Dr Mahathir telah meletakkan jawatan sebagai ahli Lembaga Pengarah SIC berkuat kuasa serta-merta.
Dalam kenyataan di sini hari ini, beliau, yang berkhidmat selama 13 tahun, berkata ia merupakan penghormatan dan istimewa untuk menjadi sebahagian daripada pasukan SIC menyaksikan litar itu daripada menghoskan perlumbaan amatur kepada perlumbaan profesional bertaraf dunia.
"Saya bangga dapat menyaksikan pelumba Malaysia bangkit untuk memberi saingan kepada bakat antarabangsa serta membawa perubahan kepada rakyat Malaysia dan budaya permotoran serantau, sekali gus mewujudkan budaya baharu dalam profesionalisme dan keselamatan dalam sukan permotoran.
"SIC bukan sahaja telah menjadi lokasi latihan yang melahirkan ramai bakat dalam kedua-dua perlumbaan motosikal dan kereta tetapi juga kepada kumpulan sokongan dalam sukan permotoran," katanya.
Sementara itu, Ketua pegawai Eksekutif (CEO) SIC, Datuk Razlan Razali mengakui bimbingan dan nasihat Mokhzani adalah antara pengalaman dan kenangan paling berharga sepanjang beliau memegang jawatan CEO.
Beliau berkata Mokhzani telah memberi SIC visi yang membentuk budaya kerja dalam membangun dan mengembangkan organisasi itu seperti apa yang dikecapi sekarang. -Bernama
#Litar Antarabangsa Sepang #Mokhzani Mahathir #perlumbaan profesional bertaraf dunia #SIC #sukan permotoran