MoF serah urusan saman Berjaya-Naza kepada AGC untuk diteliti

Sinar Harian
Julai 18, 2023 12:50 MYT
Timbalan Menteri I Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, terlalu awal untuk kementerian mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara itu. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan (MoF) menyerahkan sepenuhnya kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung saman yang difailkan syarikat usaha sama (JV) Kumpulan Berjaya dan Kumpulan Naza.
Bercakap di sidang akhbar Majlis Perkhidmatan Cemerlang Perbendaharaan Tahun 2022, Timbalan Menteri I Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, terlalu awal untuk kementerian mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara itu.
"Segala urusan saman menyaman, kita serahkan kepada AGC dan penasihat undang-undang untuk diteliti," katanya pada Selasa.
Syarikat JV Kumpulan Berjaya dan Kumpulan Naza telah memfailkan saman terhadap MoF kerana menamatkan surat hasrat (LOI) yang ditawarkan.
Pengasas dan Penasihat Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan berkata, LOI yang berkaitan dengan kontrak untuk membekalkan kenderaan kerajaan, ditamatkan tiga bulan selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad pada Mac 2020.
Dakwa Vincent, perkhidmatan JV ditamatkan dan diberikan kepada Spanco Sdn Bhd dengan perbelanjaan RM700 juta lebih tinggi bertanding bidaan JV. - Sinar Harian
#Berjaya #Naza #saman kerajaan #kontrak bekal kenderaan kerajaan
;