MOF: Perbelanjaaan pembangunan penting untuk rangsangkan pertumbuhan

Bernama
November 27, 2020 15:15 MYT
Keputusan itu diambil kerana kerajaan menjangkakan sektor swasta mungkin akan sedikit terkesan dalam bergerak ke hadapan dan mengharapkan kerajaan untuk merancakkan pertumbuhan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Adalah penting bagi kerajaan melabur dalam perbelanjaan pembangunan untuk merangsang pertumbuhan baharu seperti yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2021, memandangkan kerajaan perlu terus menyediakan kepimpinan dalam ekonomi.
Pengarah Belanjawan Negara Kementerian Kewangan Johan Mahmood Merican berkata keputusan itu diambil kerana kerajaan menjangkakan sektor swasta mungkin akan sedikit terkesan dalam bergerak ke hadapan dan mengharapkan kerajaan untuk merancakkan pertumbuhan.
"Semasa kami merangka Belanjawan 2021 sebagai kesinambungan daripada pakej rangsangan, kami melihat situasi ekonomi agak dinamik dan kerajaan akan terus memantau situasi itu.
"Saya rasa fokusnya ialah bagaimana kita belajar untuk hidup dalam persekitaran COVID-19 dan pada masa sama, membendung wabak kluster tetapi seimbangkannya dengan membenarkan ekonomi dibuka sejauh mungkin termasuk sekolah dan lain-lain," kata beliau dalam ucaptama sesi webinar Debat Pasca Belanjawan 2021 di sini hari ini. BACA SEMUA BERHUBUNG BELANJAWAN 2021
Meskipun, segelintir pihak berpendapat kerajaan perlu menggunakan perbelanjaan pembangunan untuk menyediakan lebih bantuan kepada kumpulan yang terkesan oleh COVID-19, Johan berkata banyak yang telah dilakukan oleh kerajaan untuk tujuan itu dan untuk tahun 2021.
"Kita bercakap mengenai bantuan sosial, Bantuan Sara Hidup (BSH) serta Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang kita laksanakan pada 2020, sekiranya digabungkan berjumlah RM21 bilion. Tahun hadapan, kita ada BPN berjumlah RM6.5 bilion. Rasanya kita telah memperuntukkan jumlah wang yang agak banyak untuk kumpulan yang terkesan," katanya.
Beliau menambah Belanjawan 2021 benar-benar memberi fokus kepada kesejahteraan rakyat tetapi dengan pendekatan yang lebih bersasar, sama ada moratorium beralih daripada automatik kepada kumpulan sasaran B40 ataupun mereka yang pendapatan telah berkurangan serta pengeluaran Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
"Kita tidak mahu menghabiskan segala sumber yang ada dan memandangkan COVID-19 tidak akan hilang dalam tempoh terdekat ini, kita perlu menguruskan keseimbangan (dengan baik), memastikan kita masih ada sumber dan membelanjakannya pada perkara yang betul-betul perlu," jelasnya.
Johan berkata Belanjawan 2021 ialah tindakan penyeimbangan untuk kerajaan, antara pertimbangan segera dan jangka panjang, dan ini antara lain, turut melibatkan keputusan terbaharu mengenai pengeluaran Akaun 1 KWSP.
"Saya tahu ramai menyatakan bahawa kita patut lupakan usaha mempunyai sasaran untuk defisit fiskal dan terus meminjam sebanyak mungkin. Ini amat popular dalam kalangan pakar ekonomi di luar sana. Tetapi, saya berpendapat kita masih lagi bimbang dan cuba untuk mengekalkan penarafan kredit kita sebaik mungkin kerana merasakan banyak lagi implikasi yang lebih meluas untuk ekonomi dan rakyat secara keseluruhan.
"Jadi, di satu pihak, kita mahukan perbelanjaan terbesar (dalam Belanjawan 2021) sebanyak RM322.5 bilion untuk tahun berkenaan, tetapi pada masa sama, kita berusaha memastikan agar defisit menyederhana kepada 5.4 peratus daripada 6.0 peratus tahun ini meskipun dengan senario semasa," katanya.
Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM322.5 bilion atau 20.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk Belanjawan 2021, meningkat daripada jumlah peruntukan perbelanjaannya untuk tahun 2020, yang telah disemak secara menaik menjadi RM314.7 bilion daripada anggaran peruntukan awal RM297 bilion.
Daripada jumlah untuk Belanjawan 2021, RM236.5 bilion (73.3 peratus) akan disalurkan ke perbelanjaan operasi (OE), RM69 bilion (21.4 peratus) kepada perbelanjaan pembangunan (DE) dan RM17 bilion (5.3 peratus) kepada tabung COVID-19.
-- BERNAMA
#Belanjawan 2021 #Kementerian Kewangan #Johan Mahmood Merican #COVID-19 #Kumpulan Wang Simpanan Pekerja #KWSP
;