MOF optimis Malaysia capai KDNK 5.3 hingga 6.3 peratus pada 2022
Ridauddin Daud
Julai 9, 2022 13:12 MYT
Julai 9, 2022 13:12 MYT
PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan optimis Malaysia akan mencapai unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.3 hingga 6.3 peratus pada tahun 2022, selari dengan unjuran Tabung Kewangan Dunia (IMF) dan Bank Dunia.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, perkembangan positif itu hadir selepas negara merekodkan KDNK sebanyak 5 peratus pada suku pertama 2022 dengan jumlah perdagangan borong dan runcit dilihat terus meningkat.
Menurutnya, situasi itu mencerminkan perkembangan memberangsangkan dan menunjukkan pertumbuhan KDNK pada suku kedua tahun ini akan terus diperkukuhkan.
BACA: KDNK 2022 Malaysia masih boleh capai 5.7 peratus walaupun IMF turunkan unjuran pertumbuhan global
“Data terkini bagi bulan Mei 2022 menunjukkan catatan jualan tertinggi bagi perdagangan borong dan runcit sejak tahun 2013, dengan jumlah RM129.8 bilion dan kadar pertumbuhan sebanyak 19.9 peratus dari tahun-ke-tahun (April 2022: 15.2 peratus).
“Ini menggambarkan pemulihan permintaan domestik yang terus mengukuh,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Tambah beliau, nilai perdagangan borong dan runcit yang dicapai semenjak Oktober 2021 iaitu berjumlah RM116.2 bilion telah jauh melebihi nilai purata yang direkodkan semasa pra-pandemik (2018 – 2019) iaitu RM106.3 bilion.
Permintaan domestik terus mengukuh:
1) Perdagangan runcit meningkat sebanyak 29.9% dari tahun-ke-tahun (April 2022: 20.9%) kepada RM56.3 bilion (April 2022: RM53.6 bilion).
2) Perdagangan borong meningkat sebanyak 11.7% bagi tempoh yang sama (April 2022: 11.5%) kepada RM59.6 bilion (April 2022: RM59.0 bilion).
3) Penjualan kenderaan bermotor pula mencatatkan pertumbuhan sebanyak 20.1% dari tahun-ke-tahun (April 2022: 11.3%) kepada RM13.9 bilion (April 2022: RM15.4 bilion).
Tambah beliau, pelbagai indikator lain juga menunjukkan prestasi ekonomi dilihat beransur pulih dan mula mengembang termasuk jumlah penganggur yang terus mencatatkan penurunan kepada 637,700 orang berbanding 649,300 orang pada bulan sebelumnya.
Selain itu, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) yang meningkat sebanyak 4.1 peratus dari tahun-ke-tahun dan prestasi dagangan negara yang kekal kukuh dan terus mengekalkan momentum pertumbuhan juga menunjukkan ekonomi Malaysia semakin pulih.
“Jumlah dagangan meningkat 33.6 peratus dari tahun-ke-tahun kepada RM228.4 bilion, pertumbuhan dua digit yang ke-16 berturut-turut sejak Februari 2021.
“Selari dengan prestasi dagangan, eksport dan import juga mencatatkan pertumbuhan, iaitu masing-masing sebanyak 30.5 peratus dan 37.3 peratus,” ujarnya.
Katanya lagi, Kementerian Kewangan sudah memulakan sesi libat urus dalam usaha menggubal langkah-langkah yang akan mengambil kira keperluan pelbagai pihak berkepentingan dalam terus memperkukuh ekonomi negara.
“Bajet 2023 akan memberi penekanan terhadap aspek pembaharuan struktur dan pengukuhan daya tahan ekonomi.
“Bertemakan “Memperkukuh Pemulihan, Memudah Cara Pembaharuan Ke Arah Kemampanan Daya Tahan Ekonomi dan Kesejahteraan Keluarga Malaysia”, kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat, perniagaan serta ekonomi,” katanya.