MOF komited laksana dasar fiskal progresif kurangkan kemiskinan, ketaksamaan
Bernama
Oktober 10, 2023 04:00 MYT
Oktober 10, 2023 04:00 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan komited untuk melaksanakan dasar fiskal yang lebih baik dan progresif menerusi Belanjawan 2024 bagi mengurangkan kemiskinan dan merapatkan jurang pendapatan di negara ini.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican berkata, ini kerana sumbangan dasar fiskal terhadap inisiatif mengurangkan kemiskinan dan merapatkan jurang pendapatan adalah minimum dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
"Terdapat ruang untuk menjadikan dasar fiskal kita lebih progresif terutama menerusi instrumen bantuan tunai.
"STR (Sumbangan Tunai Rahmah) telah memberi manfaat kepada 60 peratus daripada jumlah penduduk," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran laporan Malaysia Economic Monitor (MEM) ke-28 Bank Dunia bertajuk Raising the Tide, Lifting All Boats, di sini, pada Selasa.
MEM ialah penerbitan utama dua kali setahun Bank Dunia mengenai kemajuan ekonomi dan pembangunan Malaysia.
Hadir sama Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Pengurus Negara Bank Dunia bagi Malaysia, Dr Yasuhiko Matsuda.
Beliau berkata, STR juga akan diteliti untuk ditambah baik supaya inisiatif ini boleh memberi manfaat kepada lebih ramai golongan yang kurang berkemampuan dan memerlukan.
Menurut laporan MEM, walaupun trend penurunan jangka panjang, ketaksamaan pendapatan di Malaysia kekal tinggi secara relatif berbanding negara serantau dan peralihan serta negara berpendapatan tinggi.
Laporan itu mendapati kadar kemiskinan di negara ini berada di bawah 10 peratus, menunjukkan tahap pembangunan dan pertumbuhan yang dicapai negara dalam tempoh berdekad, meskipun golongan miskin tetap sukar ditembusi dan pada masa sama pengurangan kadar kemiskinan makin perlahan sebelum COVID-19. - BERNAMA