MOF kaji tambah baik Belanjawan 2021 - Tengku Zafrul
Astro Awani
Januari 14, 2021 16:52 MYT
Januari 14, 2021 16:52 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan (MOF) sedang mengkaji dan membincangkan penambahbaikan yang sesuai kepada Belanjawan 2021 bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan kelangsungan perniagaan.
Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan, kajian tersebut dilakukan susulan pelaksanaan pelbagai jenis Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara ketika ini.
"Seperti yang saya sebutkan berkali-kali sebelum ini, pihak MOF sentiasa mendengar dan bersedia untuk menambah baik inisiatif, bila mana perlu.
"Sehubungan itu, dengan pelaksanaan pelbagai jenis PKP di seluruh negara, MOF juga sedang mengkaji dan membincangkan penambahbaikan yang sesuai kepada langkah-langkah Belanjawan 2021 bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan kelangsungan perniagaan” katanya menerusi Laporan LAKSANA Ke-36 yang dibentangkan secara maya hari ini.
Tambahnya, pihak kementerian juga sedang sibuk memulakan pelaksanaan langkah-langkah Belanjawan 2021 termasuk memantau pelaksanaan 76 inisiatif di bawah belanjawan itu.
Malah, jelas beliau pakej-pakej rangsangan ekonomi tahun lepas, status pelaksanaan inisiatif-inisiatif juga akan dikongsi dengan pihak awam.