Model sedan Perodua Bezza dijangka produk laris
Dania Zainuddin
Julai 16, 2016 21:39 MYT
Julai 16, 2016 21:39 MYT
Model sedan terbaharu oleh Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua), Bezza dijangka akan menjadi antara produk terlaris dengan sasaran jualan 7,600 unit setiap bulan tahun ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Dr. Aminar Rashid Salleh berkata ia adalah model pertama dalam sedan kompak segmen 'A' syarikat itu yang direka bentuk sepenuhnya oleh warga tempatan.
"Orang ramai boleh ke mana-mana 181 bilik pameran di seluruh negara untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai model Bezza ini, dan bagi mereka yang berminat, yuran tempahan adalah RM300," kata Aminar dalam sidang media di Rawang pada Sabtu.
Menurut Datuk Dr. Aminar, pihaknya sudah membuat persediaan bagi jangkaan jumlah tempahan yang tinggi.
"Kami sudah belajar dari kesilapan kami ketika melancarkan Axia sebelum ini. Kami mahu pastikan penyerahan kereta tidak akan mengambil masa yang begitu panjang," kata Aminar.
Katanya, pembangunan Model Bezza kali ini telah memerlukan RM300 juta dan 95 peratus pengeluarannya adalah dari kandungan tempatan.
"Berdasarkan maklum balas yang kami terima dari pelanggan, kami mendapati setiap orang akan memasuki fasa dalam kehidupan yang memerlukan perubahan untuk memenuhi keperluan perjalanan harian mereka.
"Model ini disasarkan kepada mereka yang baru berkeluarga, golongan yang mahu menggantikan kereta dan mereka yang mahu ruang boot kereta yang lebih besar," kata Aminar.
Model Bezza, akan ditawarkan dalam lima varian iaitu 1.0 liter Manual dan Automatik, 1.3 liter 'Premium-X' Manual dan Automatik dan 1.3 liter versi Advance Automatik.
Pembeli yang minat juga mempunayi enam pilihan warna, iaitu Lava Red, Ebony Black, Glittering Silver, Solid Ivory White sementara dua lagi warna, Ocean Blue dan Sugar Brown adalah warna terbaharu oleh Perodua.
Bezza kini sudah dibuka untuk tempahan dengan harga antara RM37,300 hingga RM50,800 di 181 pusat pameran seluruh negara.